Kerajaan Negeri komited siapkan projek mega mengikut garis masa ditetapkan

Admin
whatsapp image 2024 04 29 at 14.39.01

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk menyelesaikan semua projek mega yang dirancangkan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa antara projek yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Kereta Kabel Bukit Bendera.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan projek Pakej 2 dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang sedang giat dilaksanakan kini telah mencapai kemajuan lebih 50 peratus.

“Lebuh raya bebas tol tersebut mampu mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam daripada 40 minit kepada kira-kira lima minit apabila siap kelak.

“Ini (Pakej 2) bukanlah projek yang mudah untuk dilaksanakan kerana sebahagian besar jajaran adalah di lereng-lereng bukit di antara Bandar Baru Air Itam sehingga ke Bukit Gambir, malah, ia juga melibatkan banyak tanah milik kerajaan Persekutuan yang mana memerlukan masa hampir dua tahun untuk kita menyelesaikan isu-isu berkaitan pengambilan tanah.

“Oleh itu, syabas diucapkan kepada Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, YB Zairil Khir Johari, pasukan dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Penang Infrastructure Corporation (PIC) serta pihak-pihak terlibat yang telah memastikan projek ini berlangsung dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Consortium Senith Construction Sdn. Bhd. dekat The Top, Komtar di sini sebentar tadi.

whatsapp image 2024 04 29 at 14.39.00 whatsapp image 2024 04 29 at 14.38.59 (1) whatsapp image 2024 04 29 at 14.38.59 whatsapp image 2024 04 29 at 14.38.57

Selain Zairil, turut hadir ialah Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol; Pengarah Urusan, Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Tan Hooi Peng; Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Dato’ Lim Hock Seng; Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan bin Darus; Pengarah Projek Pakej 2, Ir. Nasfiza Mokhtar serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa beberapa lagi pakej jalan yang dilaksanakan di bawah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. masih dalam proses kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk dan kos termasuk Pakej 1 iaitu dari Tanjong Bunga ke Batu Ferringhi.

Bagi pakej 4 yang melibatkan pembinaan terowong dasar laut pula, Kon Yeow memberitahu bahawa projek tersebut memerlukan satu keputusan dasar yang penting kerana ia melibatkan masa depan Pelabuhan Pulau Pinang.

“Ini kerana, jajaran pembinaan terowong adalah melibatkan kawasan yang diperlukan untuk pembesaran kemudahan di pelabuhan Pulau Pinang (Pangkalan Kontena Butterworth Utara, NBCT) pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri kini sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan atau Perdana Menteri akan membuat keputusan sama ada pelabuhan (Pulau Pinang) perlu dibesarkan pada masa akan datang.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jawatankuasa Pemandu untuk melihat perkara ini, dan mungkin beberapa opsyen akan dikeluarkan sekiranya projek ini boleh diteruskan,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT