Kerajaan Negeri lakar sejarah, projek rintis URC Blok 5 Mahsuri bermula awal tahun hadapan – Exco

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi melakar sejarah dalam pembangunan perumahan melalui pelaksanaan projek rintis Program Pembaharuan Semula Bandar (URC) di Blok 5 Mahsuri dekat Bayan Baru di sini yang akan bermula awal tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, projek rintis tersebut merupakan projek URC pertama di Pulau Pinang dan Malaysia.

Jelasnya, pembaharuan semula bandar adalah kaedah terbaik yang boleh diterapkan dalam mengatasi masalah kekangan atau kekurangan tanah seperti yang dihadapi di Pulau Pinang.

“Ia merupakan projek rintis pertama setelah perbincangan mengenainya telah berlanjutan begitu lama sekali.

“Secara holistiknya selain menyelesaikan isu kekangan tanah, ia juga dapat menambah baik taraf hidup pemilik asal yang (rumah) bersaiz lebih kecil, malah faktor keselamatan juga diambil kira berdasarkan usia bangunan dan kerosotan (deteriorate) struktur.

“Melalui pelaksanaan ini, keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan kebajikan unit asal terjaga selain mengoptimumkan penggunaan tanah,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkaitan di sini pagi tadi.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Nur ‘Aishah Md. Norodin (Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan) dan wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat.

Blok 5, Mahsuri yang dibangunkan kira-kira 30 tahun lalu mempunyai kira-kira 300 unit rumah dengan keluasan di antara 300 hingga 400 kaki persegi (kp).

Mengulas lanjut, Jagdeep yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa, selain menawarkan unit pembaharuan semula yang lebih besar, kawasan tersebut juga bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam lain termasuk kemudahan keselamatan.

“Unit-unit baharu ini akan didirikan dengan keluasan 700 hingga 800kp. Kita akan bagi keutamaan pemilikan kepada penduduk asal dan jika mereka tidak mahu, maka kita akan buka kepada rakyat yang berminat,” maklum beliau.

Bercakap pada sidang media yang sama, Jagdeep turut mengumumkan empat lagi skim perintis melalui kaedah URC iaitu Rumah Pangsa Taman Free School, Rumah Pangsa Padang Tembak, Taman Siakap di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Rumah Pangsa Mak Mandin di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

“Kelima-lima projek URC ini akan membawa kepada 10,065 unit keseluruhannya iaitu Rumah Mampu Milik A sebanyak 3,500 unit, RMM B (1,475 unit) dan RMM C (5,090 unit),” ujarnya lagi.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI