Kerajaan Negeri lancar kad laporan pencapaian pertama sebagai komitmen capai Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun yang pertamanya hari ini sebagai komitmen untuk mencapai Visi Penang2030.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penghasilan kad laporan berkenaan adalah bertujuan memastikan Kerajaan Negeri berada pada landasan yang betul dan tidak tersasar daripada matlamat ditetapkan.

Tambah beliau, kad laporan berbentuk info grafik itu mengandungi maklumat berkaitan jenis-jenis projek yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara tempoh bulan Mei 2018 sehingga September 2021.

Ketua Menteri menunjukkan Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri yang dilancarkan hari ini.

“Naskhah ini mungkin tidak sempurna tetapi ia merupakan langkah pertama akauntabiliti terhadap rakyat negeri ini.

“Demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, kad laporan pertama ini turut menggariskan program dan projek termasuk inisiatif perumahan, perubahan iklim, ekonomi, teknologi pendigitalan, keluarga, pemerkasaan belia serta kesaksamaan jantina.

“Semua pencapaian ini adalah hasil usaha barisan ahli Exco serta seluruh jentera pentadbiran awam dan swasta termasuk jabatan serta agensi berkaitan di negeri ini,” katanya semasa melancarkan kad laporan berkenaan di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; barisan Exco; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Parlimen; ketua-ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyentuh mengenai hala tuju Kerajaan Negeri dalam mempercepatkan pencapaian Penang2030 berlandaskan tiga inisiatif utama merangkumi Inisiatif Setempat, Inisiatif Pembangunan Komuniti dan Inisiatif Libat Urus Industri.

“Melalui Inisiatif Setempat, kita akan membangunkan hab inovatif digital dengan mewujudkan suatu Daerah Kreatif yang akan menjadi pemangkin kepada K-Ekonomi (ekonomi berasaskan pengetahuan) pada masa hadapan.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri menunjukkan Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri yang diterima masing-masing.

“Bagi Inisiatif Pembangunan Komuniti pula, Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama yang erat dan kolaborasi strategik dalam penganjuran program atau aktiviti bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Bukan itu sahaja, penglibatan Kerajaan Negeri, masyarakat awam dan pihak swasta akan membentuk satu ekosistem yang lebih maju, mampan serta mampu memperluaskan asas pelaburan kita dalam libat urus industri lebih-lebih lagi pada era pasca pandemik COVID-19,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau Kon Yeow agar Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara akan melonjakkan lagi potensi dan kecemerlangan Pulau Pinang pada masa hadapan.

“Selepas kira-kira tiga bulan menerajui tampuk pentadbiran, saya melihat keperluan untuk melonjakkan lagi potensi dan kedudukan negeri ini selepas pelbagai kejayaan dicipta dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Begitu besar harapan saya untuk melihat negeri yang tercinta inj berada di persada antarabangsa dalam tempoh 50 tahun akan datang bertitik tolak dari visi yang sedang kita semaikan ini,” ulasnya.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menerima kad laporan daripada Ketua Menteri.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa secara umumnya prestasi keseluruhan Kerajaan Negeri selama tempoh tiga tahun ini adalah sebanyak 75 peratus meliputi projek-projek dan program yang dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

“Selain kad laporan, Kerajaan Negeri juga akan sediakan satu papan pemuka melalui laman web Penang2030 untuk memaparkan secara terus perkembangan projek-projek dan program yang dilaksanakan di negeri ini bagi membolehkan rakyat memberikan maklum balas,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pencapaian-pencapaian Kerajaan Negeri dalam tempoh tiga tahun ini boleh layari laman web, www.penang2030.com.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN