Kerajaan Negeri lancar Ops Lumpur pantau projek lebuh raya berkembar selepas terima laporan NGO, respons Exco

Admin
https://www.facebook.com/buletinmutiara/videos/2206722429613716/?eid=ARACbyZWYnJu-4QHqr--gUnjAIRS8Ht2fh-eaVB_e1sEcOwe8HZsb2NWdR-d1kizw8a_hdjlIAz4KdsV

GEORGE TOWN – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu pasukan petugas khas iaitu Jawatankuasa Kawalan Hakisan dan Kelodak atau Ops Lumpur bagi memantau pembinaan projek lebuh raya berkembar secara berkala.

Jelasnya, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas Kerajaan Negeri menerima laporan daripada Pinang Hill Watch (PHW) mengenai kebimbangan mereka terhadap aktiviti pemotongan bukit yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir lumpur dan hakisan tanah.

“Pada 28 September lalu, pejabat saya telah menerima laporan berhubung aktiviti pembersihan bukit termasuk di Bukit Kukus daripada NGO PHW yang dihantar melalui Ahli Majlis MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang).

“Pejabat saya kemudian membalas surat berkenaan pada 4 Oktober lalu yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti mengenai kebimbangan berlakunya banjir lumpur dan hakisan tanah yang telah dibangkitkan pada muka surat 26 dalam laporan itu.

“Kemudian pada 8 Oktober 2018, pemeriksaan mengejut dilakukan oleh pasukan petugas khas Ops Lumpur di tapak pembinaan berhampiran Bukit Kukus bagi menyemak sama ada projek berkenaan dilaksanakan mengikut Pelan Kawasan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) atau tidak,” kata beliau pada sidang media di sini sebentar tadi.

Antara perkara-perkara yang dikenal pasti tidak mematuhi pelan ESCP dalam pelaksanaan projek.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Saari Abdullah; Penolong Pengarah Kanan JPS, Amphai Ee Bau serta Jurutera Daerah, Nortilawati Osman.

Justeru, Zairil memberitahu, tuduhan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil apa-apa tindakan selepas laporan dikemukakan adalah tidak betul.

“Kerajaan Negeri di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Tebatan Banjir sudah mengambil tindakan secepat mungkin mengikut garis panduan yang sedia ada.

“Oleh itu, satu surat telah dikeluarkan kepada pihak kontraktor untuk melaksanakan mitigasi dalam tempoh 14 hari dari tarikh pemeriksaan dilakukan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nortilawati yang mengetuai Ops Lumpur menjelaskan bahawa selepas melakukan pemeriksaan di kawasan berhampiran tapak pembinaan, mendapati berlaku ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek berkenaan seperti mana yang ditetapkan oleh pelan ESCP.

“Memang terdapat laporan mengenai cerun terdedah, dan kita (JPS) ada memberikan surat kepada pihak perunding projek supaya menyediakan geotekstil supaya mana-mana cerun dan tanah merah yang terdedah dapat ditutup,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALVIE CHENG