Kerajaan Negeri P. Pinang, Jabatan Warisan Negara sedia bekerjasama jadikan boria warisan dunia

Admin
DR. Wazir Jahan Karim (enam dari kanan, belakang) menyampaikan cenderahati berupa replica buku Boria; From Passion Play To Malay-Jawi Peranakan Parody kepada Yeoh Soon Hin (tiga dari kiri, belakang) pada majlis peluncuran buku tersebut baru-baru ini.

Kerajaan Negeri P. Pinang, Jabatan Warisan Negara sedia bekerjasama jadikan boria warisan dunia

GEORGE TOWN – Dalam usaha mengangkat martabat seni kebudayaan kebanggaan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan boria sebagai warisan dunia.

Perkara tersebut disuarakan Exco Pembangunan Pelancongan & Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin pada Majlis Peluncuran Buku ‘Boria; From Passion Play To Malay-Jawi Peranakan Parody’ dekat Bangunan UAB baru-baru ini.

“Saya difaham bahawa Pertubuhan Jawi Peranakan mencadangkan agar boria  disenaraikan sebagai warisan hidup UNESCO dan Kerajaan Negeri akan berusaha membantu pertubuhan ini menjayakan cadangan yang hebat tersebut.

“Saya juga amat berbangga dengan kaum Melayu dan Jawi Peranakan dalam mempertahankan seni warisan hidup mereka yang beraneka budaya dan muhibah seperti yang terdapat di George Town ini,” jelas Soon Hin ketika berucap pada majlis peluncuran tersebut baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Zainah Ibrahim; Presiden Pertubuhan Jawi Peranakan Pulau Pinang merangkap penulis buku, Datuk Dr. Wazir Jahan Karim; Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Datuk Seri Yussof Latiff dan mantan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Tambah Soon Hin, Kerajaan Negeri turut berharap lain-lain kaum di Pulau Pinang dapat mempertahankan tradisi budaya masing-masing kerana ia merupakan satu warisan yang tidak ternilai untuk tatapan generasi akan datang.

“Sebagai contoh, boria adalah warisan Melayu dan Jawi Peranakan , chingay adalah warisan Hokkien, nasi kandar warisan India Muslim dan tarian bangra adalah daripada kaum Sikh jadi budaya ini seharusnya dipelihara agar ia tetap terus hidup,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Soon Hin dalam pada itu, turut menzahirkan rasa bangga kerana Pulau Pinang dianugerahkan seorang cendiakawan Sains Kemasyarakatan seperti Dr. Wazir Jahan yang mampu mengangkat dan memajukan ilmu serta penulisan buku boria ini ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Zainah dalam ucapannya menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Pertubuhan Jawi Peranakan Pulau Pinang dalam membawa boria ke peringkat budaya warisan hidup nasional dan dunia.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI