Kerajaan Negeri pandang serius isu kuari haram

GEORGE TOWN – Bagi menangani isu berkaitan pengoperasian kerja-kerja tanah dan kuari secara haram di negeri ini, Kerajaan Negeri telah mewartakan Kaedah-Kaedah Kuari Pulau Pinang 2018 di bawah Kanun Tanah Negara pada 1 Julai 2019 lalu.

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow, berdasarkan kaedah ini jelas dinyatakan, di bawah Perkara 19 (3), mana-mana pengusaha kuari yang telah beroperasi sebelum 26 Mei 2010 hanya perlu mengemukakan pelan kerja tanah kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan kelulusan dan kawalan.

 

“(Dan) mana-mana kuari yang beroperasi selepas tarikh tersebut (26 Mei 2010), pengusaha kuari perlu mengemukakan kebenaran merancang dan pelan kerja tanah serta wajib mendapatkan lesen atau permit.

 

“Walaupun ia merupakan tanah kelas satu dan tidak perlu membayar premium tetapi permit (pengoperasian) masih diperlukan dan Kerajaan Negeri memandang serius hal ini,” ujarnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas di Dewan Sri Pinang pagi ini.

 

ZULKIFLI Ibrahim.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberi respons terhadap soalan tambahan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang meminta supaya Kerajaan Negeri mengekang kerja-kerja tanah yang tidak terkawal oleh pengusaha kuari haram di negeri ini.

 

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ketua Pembangkang yang juga ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang menyuarakan kebimbangan berhubung aktiviti kuari yang didakwa beroperasi berhampiran Empangan Teluk Bahang dekat sini.

 

MUHAMAD Yusoff Mohd. Noor.

Mengulas mengenai kebimbangan tersebut, Kon Yeow berkata kuari yang dimaksudkan tersebut sebenarnya jauh daripada kawasan empangan.

 

“Pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengeluarkan perintah supaya menghentikan operasi,” katanya.

 

Manakala, sebagai respons terhadap cadangan ADUN Bagan Dalam, M.Satees, Kon Yeow memaklumkan bahawa pengambilalihan tanah milikan swasta bukanlah suatu proses yang mudah malah melibatkan kos yang sangat tinggi.

 

M. Satees.

“Bukan mudah untuk Kerajaan Negeri mengambil alih tanah kuari kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi.

 

“Sebaliknya, pemilik tanah boleh bekerjsama dengan syarikat-syarikat pelancongan untuk memajukan kawasan tersebut sebagai kawasan ekopelancongan di negeri ini,” ulasnya mengenai cadangan pengambilalihan kawasan kuari terbiar oleh Kerajaan Negeri untuk dijadikan kawasan ekopelancongan seperti di Bukit Katak, Tasek Gelugor.

 

Terdahulu, Kon Yeow memberitahu dewan, di Daerah Seberang Perai Utara terdapat satu kuari tanah merah yang masih beroperasi. Manakala di Daerah Seberang Perai Tengah, lima kuari granit masih beroperasi; Daerah Timur Laut (2); Daerah Barat Daya (1) dan Daerah Seberang Perai Selatan (0).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING