GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited memastikan semua pengusaha Taska, Tadika dan Pusat Jagaan (TTPJ) di negeri ini memperoleh perakuan pendaftaran yang sah serta beroperasi selaras dengan peraturan yang ditetapkan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 6 Tahun 2026 telah meluluskan pemberian insentif bagi membantu pengusaha TTPJ mendapatkan perakuan pendaftaran yang sah.
“Di samping memudah cara proses pemutihan premis yang masih belum berdaftar, Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKMPP), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi teknikal berkaitan bagi membantu pengusaha yang belum berdaftar melalui pendekatan pemudahcaraan proses permohonan pendaftaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas sebentar tadi.
Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang memaklumkan bahawa pemberian insentif tersebut melibatkan dua kategori pengusaha.
“Pertama, pengusaha TTPJ yang telah tampil ke JPNPP atau JKMPP sebelum 31 Disember 2025 bagi urusan pendaftaran, melibatkan sebanyak 269 premis TTPJ yang telah dikenal pasti.
“Kedua, pengusaha TTPJ yang tampil selepas 31 Disember 2025 bagi urusan pendaftaran dan dikategorikan sebagai permohonan baharu serta tidak termasuk dalam senarai 269 premis TTPJ tersebut,” jelasnya.
Sebelum itu, Siew Khim memaklumkan bahawa setakat 30 September 2026, sebanyak 790 premis TTPJ berdaftar dan 222 premis tidak berdaftar direkodkan di Pulau Pinang.
Mengikut kategori pula, beliau memaklumkan bahawa terdapat 153 taska berdaftar dan 63 tidak berdaftar, 472 tadika berdaftar dan 119 tidak berdaftar serta 165 pusat jagaan berdaftar dan 40 tidak berdaftar.