GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperkenal pelbagai inisiatif mitigasi termasuk sistem amaran awal ekonomi, pengukuhan ekosistem industri serta dana mitigasi iklim bernilai RM100 juta bagi meminimumkan kesan krisis tenaga global susulan ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran terhadap ekonomi Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y. A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, konflik berkenaan dijangka memberi kesan langsung kepada landskap ekonomi negeri, khususnya sektor pembuatan, semikonduktor dan utiliti yang bergantung kepada kestabilan rantaian bekalan global serta kos tenaga.
Krisis ini mewujudkan ketidaktentuan pasaran dan sentimen pelaburan apabila pelabur asing mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’, sekali gus menyebabkan pertumbuhan pasaran buruh menjadi lembab.
“Akibatnya, janaan peluang pekerjaan baharu dalam sektor berimpak tinggi menjadi lebih terhad sekali gus memberi cabaran kepada usaha negeri untuk mengekalkan tenaga kerja mahir,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak mentah dunia turut meningkatkan kos pengeluaran industri berintensiti tenaga tinggi selain menjejaskan bekalan bahan mentah akibat gangguan logistik antarabangsa.
Katanya, syarikat tempatan dan multinasional kini berdepan tekanan aliran tunai berikutan kenaikan kos bahan mentah serta keperluan mendapatkan bekalan alternatif pada harga lebih tinggi.
Tambah beliau, keadaan ini memaksa syarikat mengalihkan dana simpanan untuk pembelian stok segera pada harga premium, yang akhirnya menjejaskan pusingan modal dan keupayaan syarikat untuk melakukan pelaburan semula dalam teknologi atau pengembangan kapasiti.
“Sebagai hab semikonduktor dan elektronik dunia, Pulau Pinang turut terdedah kepada risiko gangguan pengeluaran sekiranya berlaku gangguan pada rantaian bekalan global.
Sektor ini sangat bergantung kepada rantaian bekalan global yang lancar, yang mana sebarang gangguan pada nod logistik utama akan mencetuskan kesan domino terhadap jadual pengeluaran.
“Situasi ini boleh menyebabkan kelewatan penghantaran produk siap kepada pelanggan antarabangsa dan menjejaskan reputasi negeri sebagai pusat pembuatan berkonsepkan ‘just-in-time’,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Mengulas dapatan tinjauan sempena pelancaran Kampus Automasi, Pengujian dan Peralatan (ATE) pada 24 April lalu, Kon Yeow memaklumkan bahawa sebanyak 40 peratus pemain industri melaporkan kenaikan kos pengeluaran dan eksport antara lima hingga 10 peratus.
“Sebanyak 28 peratus lagi merekodkan peningkatan antara 11 hingga 20 peratus, manakala mengalami kenaikan antara 21 hingga 30 peratus (18) dan melebihi 30 peratus (4),” ulasnya.
Bagi mengurangkan impak tersebut, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melaksanakan sesi libat urus berterusan bersama komuniti industri strategik seperti Free Industrial Zone Penang Companies’ Association (FREPENCA), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) serta Association of Malaysian Medical Industries (AMMI).
Selain itu, beliau memberitahu bahawa sistem amaran awal bersepadu turut dilaksanakan bersama Kerajaan Persekutuan menerusi agensi seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi memantau indikator ekonomi serta perdagangan global secara berterusan.
Kerajaan Negeri juga memberi penekanan terhadap pengekalan pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), peranti perubatan serta automasi.
“Pada masa sama, industri digalakkan mengadaptasi teknologi, automasi dan penggunaan tenaga solar bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada kos operasi yang tinggi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melancarkan Dana Mitigasi Iklim bernilai RM100 juta bersama Alliance Bank Malaysia Berhad bagi mempercepatkan peralihan industri ke arah pembuatan rendah karbon dan mampan.
“Fasa pertama dana tersebut melibatkan peruntukan RM15 juta untuk pembiayaan, khidmat nasihat, geran dan modal kerja kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain sumbangan tambahan RM5 juta daripada Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa penyedia utiliti seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga terkesan apabila kos operasi diunjurkan meningkat antara 15 hingga 30 peratus susulan kenaikan harga diesel, tarif elektrik dan bahan kimia import bagi rawatan air.
“Walaupun PBAPP mengalami peningkatan kos operasi, pengguna domestik dan industri masih tidak dibebankan,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SIEW CHIA EN