Kerajaan Negeri pertimbang cadangan tubuh panel penasihat kesihatan mental

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan cadangan penubuhan sebuah panel penasihat kesihatan mental peringkat negeri untuk menangani isu-isu berkaitan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan tersebut akan dibawa ke perbincangan peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) supaya satu keputusan mengenai perkara itu dapat dibuat.

“Kita mengalu-alukan cadangan penubuhan panel kesihatan mental peringkat negeri Pulau Pinang untuk memberikan nasihat-nasihat tentang cara menangani isu kesihatan mental dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Selain itu, penubuhan panel ini juga berfungsi untuk menggubal dasar-dasar sokongan dan sebagainya bagi membantu golongan terkesan serta memperkasakan masyarakat dalam mendepani isu-isu yang semakin serius kini,” ucapnya ketika merasmikan Program Pendidikan Family Link (FLEP) dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri bersama-sama Tan Lean Kee ketika menyertai Program Pendidikan Family Link (FLEP) dekat Komtar sebentar tadi.

Turut serta, Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Puan Tan Lean Kee; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwan Bukan Islam Chong Eng; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Asmayani Khalib.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa jumlah kes bunuh diri di negara ini adalah sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes bunuh diri menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 631 kes pada tahun 2020 berbanding 609 kes pada 2019.

“Lebih membimbangkan adalah apabila PDRM melaporkan sehingga Mac tahun ini sahaja, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan di seluruh negara,” katanya.

Tambah Kon Yeow, pendedahan serta kesedaran berkaitan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini dilihat masih pada tahap kurang memuaskan.

“Masih ramai yang mempunyai stigma terhadap kesihatan mental sehingga mendiskriminasikan individu yang berdepan dengan masalah ini.

“Malah, ada yang melabelkan pesakit mental sebagai bahaya, gila, tidak boleh berdikari, kurang iman dan sebagainya sehingga mengakibatkan mereka semakin tersisih daripada masyarakat.

“Justeru, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk turut serta dalam FLEP sebagai satu bentuk sokongan dalam menangani masalah kesihatan mental, terutama dalam tempoh pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.

Terdahulu, Persatuan Minda D’Home mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah panel penasihat bagi mengenal pasti serta menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Dr. Leslie Lee Kim Guan berkata bahawa Pulau Pinang bakal menjadi negeri pertama dalam negara yang menubuhkan panel penasihat kesihatan mental peringkat negeri.

“Mungkin sudah waktunya untuk Kerajaan Negeri mempertimbangkan penubuhan sebuah panel penasihat kesihatan mental negeri demi kepentingan penduduk Pulau Pinang.

“Langkah ini akan dapat membantu penduduk Pulau Pinang untuk meneliti keperluan kesihatan mental mereka,” ulasnya.

Tambah Kim Guan, pihaknya bersedia untuk menghasilkan kertas kerja mengenai cadangan itu serta menawarkan dana sebanyak RM100,000 untuk memulakan projek tersebut.

Dalam pada itu, Lean Kee turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Persatuan Minda D’Home dan Someone for Each One (SFEO) kerana menganjurkan kursus percuma selama dua hari khusus untuk keluarga dan penjaga yang menderita masalah kesihatan mental.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk memohon mana-mana individu yang menderita atau sedang berjuang dengan masalah kesihatan mantel untuk mendapatkan rawatan dan sokongan.

“Tolong jangan putus harapan serta menderita secara bersendirian,” serunya.

Difahamkan, PLEP dianjurkan selama dua hari iaitu pada hari ini (10 Julai) dan 17 Julai 2021.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN