Kerajaan Negeri peruntuk RM337,300 bantu 443 pelajar Daerah SPU daftar masuk ke IPT

BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM337,300 bagi membantu 443 pelajar dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan politeknik dalam negara.

Kesemua pelajar yang layak masing-masing menerima bantuan bernilai RM1,200 bagi yang berjaya melanjutkan pengajian di Sabah dan Sarawak, RM1,000 (Semenanjung) dan RM300 untuk ke politeknik.

Antara barisan penerima bantuan yang hadir.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, walaupun nilai bantuan yang diberikan mungkin dilihat kecil bagi sesetengah pihak, namun Kerajaan Negeri berharap ia sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan beban ibu bapa serta pelajar-pelajar terlibat.

“Justeru, besarlah harapan Kerajaan Negeri dan ibu bapa agar para pelajar dapat memberikan fokus yang lebih sepanjang tempoh pengajian nanti.

“Kami menantikan kepulangan anda untuk bersedia menyumbang tenaga, idea dan bakat demi kemakmuran serta kesejahteraan negeri selaras dengan Visi Penang2030 iaitu dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berterskan Keluarga Inspirasi Negara,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT Peringkat Daerah SPU dekat Dewan Milenium di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran; Pegawai Daerah bagi Daerah SPU, Zulkifli Rashid serta Pegawai-pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK).

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menjelaskan bahawa perubahan serta transformasi alam pekerjaan baharu pada masa kini dan masa hadapan memaksa ilmu-ilmu Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menguasai dunia kini.

“Oleh itu, bagi memenuhi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri mengambil langkah memperkenalkan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menerusi PSDC (Penang Skills Development Centre), PSC (Penang Science Cluster), PDL (Penang Digital Library) dan banyak lagi sebagai persediaan generasi masa depan mendepani cabaran IR4.0.

Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri bergambar bersama-sama semua penerima bantuan yang hadir dekat Dewan Milenium Kepala batas.

“Semua organisasi ini berperanan untuk mempromosi, menanam serta meningkatkan daya saing di dalam STEM kepada anak-anak di negeri ini sebagai persediaan awal untuk menarik minat serta kesungguhan mereka bagi mendorong penguasaan disiplin dan teras berkaitan secara konsisten,” jelasnya.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara berkesempatan menemubual beberapa penerima bantuan untuk mendapatkan reaksi mereka berkaitan insentif yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri tersebut.

NUR FARHANAH ROSLAN.

NUR FARHANAH ROSLAN, 20, menzahirkan perasaan syukur kerana terpilih sebagai salah seorang menerima bantuan.

“Saya gembira kerana dengan adanya bantuan ini, ia akan dapat mengurangkan sedikit beban ibu bapa saya yang sedang menanggung lima lagi adik-beradik masih bersekolah.

“Wang ini saya akan simpan untuk membeli buku bagi kemasukan semester kedua nanti,” katanya yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam jurusan Pengajian Islam.

NUR SALAM ISMAIL.

Seorang pelajar yang juga bakal melanjutkan pelajaran ke UniSZA, NUR SALAM ISMAIL, 18, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian bantuan pendidikan tersebut.

“Saya akan menggunakan wang ini dengan sebaiknya iaitu untuk membayar yuran dan membeli buku teks memandangkan harga buku bagi keperluan di universti agak mahal,” jelasnya yang akan mengambil jurusan Usuludin.

NUR NAYLI AFIQAH JAMALUDIN.

Bagi NUR NAYLI AFIQAH JAMALUDIN, 18, bantuan yang diterima daripada Kerajaan Negeri tersebut adalah sangat bermakna kerana dapat membantu ramai pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri sebab begitu prihatin terhadap keperluan rakyat, dan bantuan ini sememangnya dapat membantu ramai pelajar terutamanya yang kurang mampu untuk meneruskan pengajian mereka,” ulasnya yang bakal menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.

MUHAMMMAD AMIRUL FITRI ISMAIL.

MUHAMMMAD AMIRUL FITRI ISMAIL, 21, pula memberitahu bahawa wang berjumlah RM1,000 yang diterima akan digunakan untuk membayar yuran pengajian di universiti kelak.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian yang sangat bermakna bagi saya,” ujar beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD