Kerajaan Negeri peruntuk RM6.5 juta wujudkan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana sebagai langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan kejadian bencana yang akan berlaku di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pusat logistik tersebut diwujudkan untuk menempatkan atau menyimpan segala barang atau aset bagi tujuan pengurusan bencana di negeri ini.

“Anggaran kos bagi penubuhan pusat ini adalah sebanyak RM6.5 juta yang meliputi komponen bangunan setingkat berkeluasan 14,000 kaki persegi, dataran parkir bagi kelengkapan lori dan jentera lain ketika bencana dan juga satu (1) ruang helipad.

“Projek pembinaan pusat ini akan dilaksanakan di atas tanah milik kerajaan di dalam Daerah Seberang Perai Tengah iaitu di Jalan Chan Ewe Pin Mukim 14,” katanya semasa sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Beliau berkata dekimian sebagai respons kepada pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Yusni Mat Piah.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan cadangan supaya pengurusan premis dan bangunan di sekitar Clan Jetty diambil alih oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

“Model pengurusan di Pengkalan Weld akan digunakan bagi kawasan Clan Jetty, yang mana tanah yang berkaitan akan diberi milik kepada CMI dan bangunan komersial di atas tanah tersebut akan disewakan kepada penghuni asal untuk tempoh tertentu melalui satu dokumen perjanjian secara sewaan atau pajakan.

“Dengan kaedah ini, Kerajaan Negeri akan memastikan bangunan-bangunan di kawasan Clan Jetty diselenggara dengan baik,” ujarnya sebagai respons kepada cadangan ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi Zi Sen.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING