Kerajaan Negeri peruntuk RM60,000 jayakan penubuhan Tabika Perpaduan Taman Mewah

BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM60,000 bagi menubuhkan Tabika Perpaduan Taman Mewah untuk membantu mengurangkan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dalam menyediakan pendidikan awal kepada anak masing-masing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri sedar betapa pentingnya menyediakan pendidikan awal yang baik dan berkualiti kepada kanak-kanak sebagai asas kepada pembangunan insan yang mampu melahirkan generasi pelapis berminda kelas pertama.

“Malah, Kerajaan Negeri juga amat prihatin bahawa kejayaan masa depan kanak-kanak adalah bergantung kepada persediaan yang diterima oleh mereka semasa kecil.

Ketua Menteri melawat kemudahan di Tadikan Perpaduan Taman Mewah.

“Namun begitu, kos pendidikan prasekolah telah menjadi bebanan kepada ramai ibu bapa terutamanya yang berpendapatan rendah kerana yuran tadika swasta kini agak mahal dan tidak semua ibu bapa mampu menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta.

“Oleh itu, saya berharap agar semua Jabatan Persekutuan dan Negeri terus berganding bahu untuk berusaha menubuhkan lebih banyak institusi prasekolah di negeri ini yang menawarkan yuran secara percuma,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Tabika Perpaduan Taman Mewah di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Rohai Zahar Nedi; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Heng Choon Tian, Alfred Jonathan serta wakil-wakil berkaitan.

Beramah mesea dengan kanak-kanak di tadikan berkaitan.

Pada masa sama, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kerana membenarkan premis milik mereka digunakan sebagai Tabika Perpaduan demi manfaat komuniti di kawasan terbabit.

“Bangunan di mana Tabika Perpaduan ini sedang beroperasi sejak tahun lepas merupakan bekas tapak surau milik MAINPP yang terbengkalai.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MAINPP kerana membenarkan bangunan ini digunakan untuk manfaat anak-anak kecil kita di kawasan Taman Mewah.

“Dalam pada itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) yang telah melaksanakan semua kerja-kerja pengubahsuaian berasaskan spesifikasi Pejabat Perpaduan Daerah SPU.

Bersama para pendidik Tadika Perpaduan Taman Mewah.

“Tidak lupa juga kepada MPKK Heng Choon Thian yang membantu memantau operasi Tabika Perpaduan ini, tahniah kepada semua!” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan.

Difahamkan, selain Kerajaan Negeri, penubuhan Tabika Perpaduan Taman Mewah adalah hasil usaha bersama oleh pelbagai pihak khususnya Pejabat ADUN Bagan Dalam, Pejabat Perpaduan Daerah SPU, Pejabat Daerah dan Tanah SPU serta MPKK Heng Choon Thian sejak tiga tahun lalu.

Malah, Pejabat Perpaduan Daerah SPU juga telah menyediakan tenaga pengajar serta menguruskan operasi tabika tersebut.

Dalam pada itu, Satees menyatakan bahawa Tabika Perpaduan Taman Mewah merupakan tadika kedua di Bagan Dalam selepas Taman Bagan dan yang pertama diusahakan oleh pusat khidmat beliau sendiri.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana telah meluluskan dana daripada pejabatnya (Pejabat Ketua Menteri) untuk menjayakan penubuhan tadika ini.

“Tadika Perpaduan amat penting kerana mampu mempupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini selain dapat mengurangkan beban rakyat kurang berkemampuan memandangkan ia adalah secara percuma,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING