Kerajaan Negeri Pulau Pinang agih sumbangan Ehya’ Ramadan kepada 231 Masjid, Surau Jumaat

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 tidak pernah gagal melaksanakan pemberian sumbangan Ehya’ Ramadan demi memastikan program pengimarahan masjid dan surau dapat terus dilaksanakan demi kepentingan umat Islam di Pulau Pinang. 

Menjelang Ramadan tidak lama lagi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sekali lagi menyalurkan RM240,000 kepada 231 masjid dan ‘surau Jumaat’.

“Pemberian sebanyak RM5,000 kepada Masjid Negeri, lima Masjid Daerah dengan sumbangan RM2,000 setiap masjid, manakala RM1,000 masing-masing kepada 207 Masjid Kariah, sembilan Masjid Bukan Kariah iaitu masjid yang tidak mengadakan solat Jumaat dan sembilan surau yang melaksanakan Solat Jumaat.

“(Sumbangan) ini dilihat sebagai salah satu usaha yang penting dan perlu bagi membangunkan rakyat Pulau Pinang secara fizikal dan spiritual,” jelasnya yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan dalam Majlis Perasmian Sumbangan Ehya’ Ramadan Masjid-Masjid dan Surau-Surau Jumaat Negeri Pulau Pinang 2019 di SP Arena dekat sini pada 1 Mei 2019.

Menurut Kon Yeow, sumbangan berkaitan adalah tambahan kepada peruntukan mengurus di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Pada tahun 2019, sejumlah RM56.8 juta telah diperuntukan untuk mengukuhkan institusi Islam. 

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan institusi Islam di negeri ini terus kekal unggul melalui pelbagai program pembangunan yang telah direncanakan,” ujarnya sambil memberitahu tumpuan pada aspek pembangunan insan merupakan salah satu fokus dalam wawasan pembangunan jangka panjang selama 11 tahun sehingga 2030, iaitu Penang2030.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyatakan bahawa beliau berharap bulan Ramadan kali ini akan menyemarak lagi semangat kemanusiaan tanpa mengira warna kulit ataupun agama, terutama kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee turut sertai majlis ringkas tersebut.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengarah JHEAIPP, Abdul Wahab Long; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; dan Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman. 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : ALISSALA THIAN