Kerajaan Negeri salur bantuan RM1,000 kepada isi rumah terjejas kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung

Admin

JAWI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan bantuan kewangan khas berjumlah RM1,000 masing-masing kepada setiap isi rumah yang terjejas susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Jalan Byram di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bantuan khas tersebut akan disalurkan kepada kesemua 90 keluarga dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang telah diarahkan berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

“Diharapkan dengan bantuan ini ia dapat membantu meringankan beban mereka yang terlibat terutamanya untuk menampung perbelanjaan harian yang diperlukan.

Ketua Menteri meneliti maklumat terkini berkaitan status kerja-kerja memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

“Bantuan ini akan disalurkan dalam kadar segera iaitu pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media dekat Dewan Serbaguna Jawi di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai serta wakil-wakil pihak berkuasa penyelamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sebanyak 58 peratus daripada 28.47 ekar kawasan yang mengalami kebakaran masih belum berjaya dipadamkan.

Kerja-kerja memadam kebakaran masih giat dijalankan oleh pihak bomba dengan bantuan pelbagai agensi.

“Operasi memadam kebakaran akan diteruskan dengan bantuan penggunaan teknologi iaitu dari imej termal dan dron yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melihat titik-titik panas di tapak pelupusan sampah yang masih terbakar.

“Langkah ini dapat memudahkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang perlu diberikan keutamaan,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, bagi memudahkan operasi pemadaman dilakukan, kawasan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung telah dibahagikan kepada lima sektor.

“Sektor 1 membabitkan keluasan 4.19 ekar, diikuti sektor 2 (3.75 ekar), sektor 3 (6.2 ekar), sektor 4 (6.1 ekar) dan sektor 5 (8.23 ekar).

Api masih marak di beberapa sektor.

“Terkini hanya sektor 4 sudah dapat dikawal sepenuhnya manakala bagi sektor-sektor lain, operasi pemadaman masih lagi giat dijalankan.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan pelbagai kaedah termasuk pengeboman air, tambakan tanah serta membina fire break bagi mengawal api daripada terus merebak,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin memberitahu bahawa sebanyak 50 anggota dari pelbagai agensi ditugaskan setiap hari selama 24 jam mengikut syif.

Jentera digunakan untuk meratakan sampah bagi memudahkan operasi pemadaman.

“Kita juga mendapat bantuan aset daripada JBPM Negeri Sembilan, Perak dan helikopter dari Subang,” jelasnya.

Menjawab soalan pemberita, beliau menjelaskan bahawa operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran ekoran kedudukan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berdekatan dengan laut.

“Angin memainkan peranan yang menyebabkan agak sukar untuk kita membuat kerja-kerja pemadaman api,” katanya.

 

Pada sidang media sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa sembilan daripada 10 sekolah yang diarahkan tutup mulai 19 hingga 21 Januari lalu, boleh dibuka semula pada Isnin ini.

Kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai turut membantu memadam kebakaran.

“Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Changkat, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Nibong Tebal, SK Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong dan SMK Methodist.

“Hanya sebuah sekolah sahaja yang masih lagi ditutup iaitu SJKT Ladang Byram kerana terletak berdekatan dengan kawasan kebakaran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa semua penduduk yang diarahkan berpindah ke PPS tidak akan dibenarkan pulang sehingga bacaan Indeks Kualiti Udara (IPU) kembali selamat.

“Pihak JAS akan terus memantau kualiti udara secara menyeluruh sehingga proses pemadaman selesai dan kualiti udara yang distabil diperoleh,” katanya.

Kon Yeow sebelum itu turut mengadakan lawatan ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung kira-kira sejam untuk meninjau keadaan terkini sebelum mengikuti taklimat khas oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dekat Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan.

Terdahulu, Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Jalan Byram yang berkeluasan 6.5 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, 12 Januari lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga kini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & ALISSALA THIAN