Kerajaan Negeri salur bantuan RM3.17 juta kepada Sekolah Agama Rakyat

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyampaikan inisiatif Bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM3,170,138 kepada 333 institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 18 Sekolah Menengah Agama Rakyat; Sekolah Bantuan Kerajaan (11); Sekolah Rendah Agama Rakyat (16); Maahad Tahfiz (49); Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi (104); Tadika Islam (17); sekolah pondok (14) dan KAFA Tulen (104).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemberian insentif tersebut adalah bagi membantu pihak sekolah menyediakan ekosistem yang lebih baik sekali gus memangkin lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang.

Ketua Menteri menyampaikan cek replika sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat.

“Walaupun bidang pendidikan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri masih melaksanakan apa yang terdaya dan sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama baik dalam memastikan aspek penting ini sentiasa diberikan keutamaan.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha memberikan yang terbaik tanpa meminggirkan mana-mana golongan atau kelompok kerana kita semua perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

“Justeru, komitmen dan langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bidang pendidikan termasuk institusi pendidikan Islam adalah sangat bertepatan, selaras dengan Visi Penang2030 untuk membina masa depan Pulau Pinang yang lebih baik,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan SAR dan Sumbangan Para Huffaz Kali Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Seramai 605 huffaz turut menerima insentif pada tahun ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Rashid; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Roslan Ahmad dan Ketua Pengarah Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Dato’ Amran Hazali.

Kon Yeow berkata, pada tahun 2023, sebanyak RM3,500,138 telah diperuntukkan untuk tujuan yang sama.

“Kerajaan Negeri berharap proses penyampaian bantuan ini dapat dipercepatkan pada tahun hadapan,” ujarnya.

Pada masa sama beliau memberitahu bahawa pada tahun ini juga Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM302,500 kepada 605 huffaz di negeri ini yang mana masing-masing akan menerima RM500.

“Semoga dengan sedikit insentif ini akan dapat membangkitkan semangat para huffaz untuk mengekalkan kepakaran serta kecemerlangan yang cukup baik ini.

“Malah, saya juga dimaklumkan bahawa pihak Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) sedang melaksanakan program Iltizam Huffaz iaitu kelas persediaan khas untuk pelajar tahfiz bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mencadangkan agar para huffaz dapat meneroka potensi ini yang dijalankan secara percuma oleh YIPP dengan bantuan ZPP sebagai salah satu nilai tambah positif untuk kemajuan diri dan institusi pendidikan Islam secara keseluruhannya,” serunya.

Antara guru KAFA yang hadir.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin dalam ucapan sebelum itu menyatakan bahawa bantuan yang disalurkan kepada SAR dan para huffaz sejak tahun 2009 adalah sebagai pengiktirafan dan sokongan Kerajaan Negeri untuk kemajuan pendidikan Islam di negeri ini.

“Ini sekali gus menepis tohmahan serta pendapat yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri mengabaikan institusi pendidikan agama Islam dan kebajikan para huffaz di negeri ini.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited untuk membantu sekolah agama dan para huffaz melalui program-program baharu diperkenalkan melalui Gagasan Khaira Ummah se’laras dengan visi mempersiapkan umat Islam yang terbaik untuk Pulau Pinang menjelang tahun 2030,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI