Kerajaan Negeri sasar nisbah 40:40:20 sebagai penanda aras baharu pembuat keputusan

Admin

GEORGE TOWN – Sebagai negeri perintis yang melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender, Kerajaan Negeri kini mensasarkan nisbah 40:40:20 sebagai penanda aras baharu di peringkat pembuat keputusan Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, nisbah tersebut mewakili 40 peratus wanita, lelaki (40 peratus) dan wanita dan lelaki (20 peratus).

“Wanita dan lelaki harus diberikan peluang yang sama untuk mengambil bahagian dalam pembuat keputusan supaya tidak ada satu gender pun yang mendominasikan proses membuat keputusan.

“Kerajaan Negeri kini menumpukan kepada keseimbangan dalam melaksanakan dasar-dasar di semua lapisan masyarakat, juga Pulau Pinang kini menerajui dalam agenda memajukan pembangunan wanita.

“Justeru, dengan adanya polisi kerajaan yang mesra wanita ini serta kemudahan sosial yang wujud, golongan wanita harus menyiapkan diri masing-masing secara aktif dalam penganjuran program-program komuniti, mempelajari pelbagai kemahiran agar dapat membantu wanita maju ke hadapan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Wanita Hebat Perkasa bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia di sini sebentar tadi.

Hadir sama, dua wanita hebat di peringkat negeri iaitu isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee dan Chong Eng (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam). Turut serta, Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar).

 

Bertemakan Wanita Hebat Perkasa, penganjuran program berkaitan turut diisi dengan pelbagai program menarik, antaranya gubahan tudung saji, taklimat menangani stress, aktiviti memasak secara gotong-royong dan cabutan bertuah.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyeru usahawan wanita untuk menaik taraf kemahiran mereka dalam menghasilkan produk serta menambah baik jenama dan pembungkusan sedia ada.

“Dengan jenama yang baik serta pembungkusan yang menarik, produk-produk usahawan wanita ini mungkin suatu hari nanti boleh dipasarkan hingga ke luar, bukan sahaja di Pulau Pinang.

“Malah, jika produk sudah menarik, mempunyai jenama dan pembungkusan yang sesuai pastinya ia lebih mudah dipasarkan…mungkin ke peringkat antarabangsa seperti Vietnam, Indonesia dan Kemboja berbanding produk menarik tetapi tidak ada jenama serta pembungkusan yang sesuai tentu susah untuk dikembangkan pasarannya,” jelasnya sambil berseloroh untuk memasarkan serbuk rempah Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Chong Eng ketika diminta mengulas mengenai dasar 40:40:20 baharu tersebut memberitahu bahawa pendekatan tersebut hanya akan berjaya sekiranya golongan wanita berani untuk tampil ke hadapan.

“Proses untuk wanita berani tampil ke hadapan ini adalah sedikit berbeza dengan gologan lelaki ekoran tanggungjawab terhadap anak dan rumah tangga yang harus dipikul, walau bagaimanapun kita perlu berikan dorongan serta galakan kepada mereka.

“Apa yang penting adalah kemahuan dan mereka bersedia untuk tampil ke hadapan, kita mesti dekati serta ‘cari’ mereka,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN