Kerajaan Negeri sedia bantu realisasi impian One Hope Charity wujudkan hospital untuk golongan B40

Admin

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri sedia menyalurkan bantuan bagi merealisasikan impian pertubuhan amal One Hope Charity untuk membina sebuah hospital sebagai memenuhi keperluan golongan memerlukan.

Katanya, beliau juga yakin sekiranya dana yang diperlukan pertubuhan berkenaan sudah mencukupi, maka Kementerian Kewangan dan kerajaan Persekutuan akan turut memberikan bantuan yang sewajarnya.

Chow Kon Yeow bersama-sama Lim Guan Eng menyempurnakan gimik perasmian Majlis Ulang Tahun Ke-17 One Hope Charity & Walfare Berhad.

 

 

 

 

 

 

 

“Terima kasih kepada Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) kerana telah menyahut hasrat daripada One Hope Charity yang memohon menubuhkan sebuah hospital untuk kebajikan orang ramai khususnya di Pulau Pinang.

“Seperti sedia maklum, kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan yang ‘dihasilkan’ oleh sokongan rakyat dan sebagai membalas budi pengundi, PH Pusat dan Negeri akan meneruskan program-program kebajikan untuk membantu golongan berpendapatan kurang 40 peratus (B40),” katanya semasa merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-17 One Hope Charity & Walfare Berhad dekat Autocity di Juru dekat sini sebentar tadi.

Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan tetamu jemputan khas bergambar kenang-kenangan bersama para penerima sumbangan.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen.

Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau; Penasihat One Hope Charity, R. Arunasalam; Presiden Persatuan Melayu Pulai Pinang (PEMENANG) Tan Sri Mohd. Yussof Latiff; Pengarah Auto City, Gary Teoh juga turut hadir.

Difahamkan, sempena ulang tahun ke-17 pada tahun ini, One Hope Charity membelanjakan lebih RM1 juta dengan membekalkan sebanyak 3000 pek barangan keperluan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap agar kerja-kerja amal yang dilakukan oleh One Hope Charity akan menjadi tauladan kepada semua pertubuhan kebajikan dan individu bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk ucapkan jutaan terima kasih kepada penganjur kerana menjayakan satu program amal ‘raksasa’ sempena sambutan ulang tahun ke-17.

“Di sebalik kemeriahan sambutan ulang tahun, One Hope Charity masih tidak lupa meraikan golongan B40 yang masih memerlukan bantuan daripada kerajaan dan juga pertubuhan-pertubuhan amal,” ujarnya.

One Hope Charity turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa sekolah yang terpilih.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya menyatakan bahawa untuk menubuhkan sebuah hospital adalah memerlukan perancangan yang teliti serta kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“Bagi memohon kelulusan membina sebuah hospital swasta walaupun untuk membantu golongan susah tanpa tujuan keuntungan tetapi masih perlu memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

“Jadi, kita (Kementerian Kewangan) berharap bahawa satu perancangan teliti boleh diatur kerana ia merupakan suatu hasrat yang amat berat,” jelasnya.

Terdahulu, Sui Hau menyatakan bahawa One Hope Charity berhasrat untuk membina sebuah hospital swasta khusus bagi membantu golongan yang memerlukan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS