Kerajaan Negeri selenggara lebih 500 projek bernilai hampir RM300 juta – Exco

DATUK KERAMAT – Dalam memastikan daya huni yang tinggi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM293.93 juta bagi melaksanakan projek-projek penyelenggaraan di skim-skim perumahan awam dan swasta yang layak di kelima-lima daerah di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah tersebut merangkumi 528 projek melalui 308 permohonan.

 

“Usaha kita (Kerajaan Negeri) dalam aspek penyelenggaraan (skim perumahan layak) adalah untuk memastikan daya huni tinggi selaras dengan Visi Penang2030.

 

“(Dan) pada awal tahun ini (2022) sehingga 18 Februari sebanyak 17 permohonan merangkumi 31 projek penyelenggaraan baru bernilai RM4.092 juta diluluskan.

 

“Bermakna Kerajaan Negeri telah menyelenggara lebih 500 projek bernilai hampir RM300 juta,” ujarnya pada sidang media yang diadakan pada 20 Februari 2022 di sini.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan wakil Persatuan Penduduk Flat Sri Indah (Kompleks Sri Wonder).

 

JAGDEEP Singh Deo bersama-sama Nordin Ahmad (dua dari kiri) dan Mohd.Fauzy Mohd. Yusoff (dua dari kanan) serta ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Flat Sri Indah sejurus mengumumkan kelulusan pembiayaan naik taraf lif di sini.

 

Terdahulu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat hadir ke Flat Sri Indah bagi mengumumkan kelulusan projek penarafan dua unit lif di sini.

 

“Pada hari ini, saya berbesar hati mengumumkan kelulusan projek menaik taraf lif di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) berjumlah RM360,000 yang mana 80 peratus kos (RM288,480) ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

 

“Baki 20 peratus lagi iaitu RNM72,120 yang ditanggung oleh penduduk akan dibiayai oleh wakil rakyat iaitu 10 peratus daripada saya selaku ADUN di sini dan 10 peratus lagi daripada Ahli Parlimen Jelutong.

 

“Ini bermakna, projek penarafan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan menjadi keutamaan kita (Kerajaan Negeri) dalam memastikan rakyat menerima manfaat (daripada pelaksanaan) projek ini,” jelasnya yang turut mengalu-alukan mana-mana skim perumahan di negeri ini yang memerlukan bantuan boleh mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan oleh LPNPP.

 

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sri Indah Wonder, Nordin Ahmad memberitahu bahawa lif di perumahan tersebut kerap mengalami masalah.

 

JAGDEEP Singh Sep menyerahkan surat kelulusan projek menaik taraf dua unit lif di Flat Sri Indah kepada Nordin Ahmad (depan, kanan) di sini.

 

“Kadang-kadang sampai tengah malam masih terima panggilan daripada penduduk yang mengadu masalah lif dan ini telah menimbulkan kesusahan kepada penduduk.

 

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada YB (Jagdeep), Ahli Parlimen dan LPNPP yang telah meluluskan permohonan kami,” zahirnya sambil menyambut baik usaha pantas dan keprihatinan Kerajaan Negeri itu.

 

Difahamkan flat setinggi 12 tingkat ini mempunyai 135 unit kediaman dan telah berusia lebih 20 tahun.

 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep sekali lagi mengulangi bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu respons daripada Kerajaan Persekutuan berikutan permohonan dana penyelenggaraan untuk negeri Pulau Pinang bagi tahun ini.

 

“Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak RM35 juta (dana penyelenggaraan daripada Kerajaan Persekutuan) dan tahun lalu sebanyak RM18 juta.

 

“(Dan) bagi tahun ini, kita (Kerajaan Negeri) telah mengemukakan permohonan berjumlah RM134 juta untuk dipertimbangkan,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING