Kerajaan Negeri selesai senarai pendek 24 ahli NGO bagi mengisi kuota Ahli Majlis – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui satu jawatankuasa yang dilantik hari ini telah selesai menyenarai pendek seramai 24 ahli-ahli NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) bagi mengisi tujuh kuota Ahli Majlis di kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata keputusan muktamad berhubung pemilihan tujuh Ahli Majlis mewakili NGO tersebut akan diumumkan pada minggu pertama tahun 2021.

Jelasnya, sebanyak 67 permohonan telah diterima daripada NGO di seluruh negeri Pulau Pinang untuk dipertimbangkan kelayakan masing-masing, di mana satu proses temuduga telah dijalankan pada 23 dan 24 Disember 2020.

“67 pemohon ini terdiri daripada 54 lelaki dan 13 perempuan dan sebanyak 60 orang telah ditemuduga oleh ahli jawatankuasa yang dilantik.

“Langkah seterusnya adalah pemilihan tujuh individu yang layak iaitu empat kuota Ahli Majlis (NGO) di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP (tiga) akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri iaitu Exco.

“Pengumuman mereka yang terpilih hanya akan dibuat pada upacara angkat sumpah menerima jawatan Ahli Majlis yang dijangka diadakan pada minggu pertama tahun 2021,” ujarnya pada sidang media yang berlangsung di Komtar tengah hari tadi.

Hadir sama ahli-ahli jawatankuasa pemilihan antaranya Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Dr. P. Ramasamy; Mohd Tuah Ismail (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Pulau Betong) dan Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya MBPP).

Bagi memastikan pemilihan bersifat telus, terbuka dan memberi lebih ruang kepada NGO, Kerajaan Negeri pada 3 Disember lalu telah memutuskan untuk membuka permohonan Ahli Majlis kepada semua NGO di negeri ini berbanding tahun-tahun sebelumnya menggunakan sistem cadangan nama.

Teks dan Gambar: NORSHAHIDA YUSOFF