Kerajaan Negeri sentiasa amal prinsip keterbukaan, pastikan projek serta dasar dapat kefahaman masyarakat keseluruhan – Kon Yeow

Admin

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menekankan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan dan telus bagi memastikan setiap projek atau pembangunan yang dirancang berjaya.

Menurut beliau, bagi memastikan setiap projek ataupun dasar itu berjaya, semuanya memerlukan sokongan, kefahaman dan penglibatan masyarakat keseluruhannya.

“Wakil-wakil rakyat yang dilantik perlu menjalinkan kerjasama erat dengan pertubuhan kawasan dan masyarakat setempat, maka dengan hubungan rapat ini, saya percaya wakil rakyat dapat membantu Kerajaan Negeri serta Kerajaan Pusat memastikan projek yang dilaksana mendapat sokongan, persetujuan dan penglibatan rakyat.

“Saya selalu percaya, mana-mana projek atau dasar sekiranya mesej sampai kepada rakyat dengan menyeluruh, rakyat faham… pastinya peluang projek serta sesuatu dasar untuk berjaya adalah lebih tinggi.

“Sebaliknya, kalau kita (kerajaan) fikir kita pandai sangat, tidak mahu rujuk kepada rakyat dan melaksanakan sesetengah dasar atau program yang tidak mendapat sokongan rakyat, maka ini akan membawa kepada kegagalan terhadap apa yang telah dirancangkan,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat bertempat di Taman Free School dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

ADUN Datuk Keramat yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo selaku tuan rumah penganjur turut hadir dan berucap pada penganjuran sambutan tahunan tersebut.

Ribuan masyarakat tempatan pelbagai bangsa hadir bagi memeriahkan penganjuran tersebut.

Pelbagai persembahan menarik dipersembahkan sebagai halwa telinga sambil tetamu yang hadir menikmati pelbagai sajian yang disediakan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD