Kerajaan Negeri serah dua ekar tanah kepada LPP bangunkan projek fertigasi halia

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi mengorak langkah ke hadapan melalui pelaksanaan projek fertigasi tanaman halia berskala besar di negeri ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, bagi tujuan itu Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyerahkan sebidang tanah seluas dua ekar di Kampung Pelet dekat Permatang Pauh kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pulau Pinang bagi membangunkan projek berkenaan.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan program Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya LPP di Wisma Peladang.

 

 

 

 

 

 

“Terima kasih kepada saudara Mazlan Aliman (Pengerusi LPP Kebangsaan) yang melakukan kunjungan hormat kepada saya dan memaklumkan tentang kemampuan LPP dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk melaksanakan projek-projek fertigasi dan pertanian yang berteknologi.

“Justeru, atas inisiatif itu Kerajaan Negeri melalui pejabat saya telah mencadangkan supaya LPP diberi peluang membangunkan fertigasi tanaman halia secara tersusun dan terancang dekat Permatang Pauh Agropark,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Hari Raya Aidilfitri LPP Pulau Pinang dekat Wisma Peladang, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah LPP Pulau Pinang, Anuar Mat Esa; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang, Datuk Ismail Umar dan Timbalan Pengarah LPP Pulau Pinang, Zulkifli Muhammad.

Mengulas lanjut, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menjelaskan bahawa LPP menyasarkan sebanyak 120,000 polibeg tanaman halia bakal dihasilkan melalui projek tersebut.

“Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan maka kita (Pulau Pinang) dapat mengurangkan kebergantungan kepada tanaman import,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar memaklumkan bahawa LPP juga dalam perancangan untuk mewujudkan semula projek ikan sangkar dekat Pulau Aman yang musnah akibat bencana ribut pada tahun 2017.

“Oleh itu, kita (LPP) mahu wujudkan semula 300 ikan sangkar dengan kos kira-kira RM3.8 juta yang mana RM2 juta daripadanya adalah untuk membina infrastruktur yang diperlukan.

“Spesies ikan yang dikenal pasti pula adalah bawal emas, jenahak dan ikan merah,” tambah beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD