Kerajaan Negeri siap sedia hadapi kemungkinan banjir besar

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir besar sebagaimana yang melanda beberapa negeri sejak tiga hari lalu.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata sebanyak 35 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di kelima-lima daerah termasuk lebih 70 buah bot sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir.

“Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) akan membuka lebih banyak PPS bergantung kepada keadaan semasa tetapi buat masa sekarang kita ada 35 pusat pemindahan yang aktif.

Phee Boon Poh ketika ditemui di pejabat beliau dekat Komtar sebentar tadi.

“Sementara itu, 70 buah bot sudah disediakan melalui pasukan bomba sukarela di bahagian pulau dan Seberang Perai untuk digunakan sekiranya perlu terutamanya semasa misi menyelamat.

“Pejabat Daerah juga telah mengadakan bengkel mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19 di pusat pemindahan selain menyediakan keperluan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik.

“Pendek kata, kita telah membuat persiapan yang sewajarnya walaupun Pulau Pinang dijangka tidak berdepan banjir besar seperti negeri-negeri lain,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa ditemui di pejabat beliau dekat Komtar sebentar tadi.

Bukan itu sahaja katanya, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan pusat penyimpanan makanan kering dan keperluan lain yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir.

“Ini termasuk keperluan utama untuk golongan wanita.

“Disebabkan Pulau Pinang mempunyai program Mutiara Foodbank, maka kita mempunyai persefahaman baik dengan pengendali pasar raya besar di negeri ini yang mana pasar raya ini akan dijadikan pusat penyimpanan makanan sekiranya berlaku bencana.

“Ini bermaksud, apabila berlaku sebarang bencana Kerajaan Negeri melalui jawantankuasa khas di bawah Agenda Hijau Pulau Pinang akan turun ke pasar raya berkaitan untuk mengawal bekalan makanan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Terdahulu, hujan lebat yang melanda beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sejak 18 Disember lalu telah mengakibatkan berlakunnya banjir besar negeri-negeri berkenaan.

Selepas menamatkan amaran hujan berterusan di sebelah Pantai Barat Semenanjung semalam, kini amaran hujan lebat pula bakal berlaku di sebelah Utara tanah air bermula pagi esok (21 Disember).

Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini berkata, penduduk di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diminta untuk terus berhati-hati berkenaan cuaca buruk yang bakal berlaku di negeri masing-masing.

Mengulas lanjut, Boon Poh berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini melalui Gabungan PgCare yang boleh menyalurkan bantuan semasa kecemasan.

“Ini termasuk NGO seperti Penang Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia (Tzu Chi), One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) dan badan sukarela lain yang akan membantu Kerajaan Negeri sewaktu kecemasan melibatkan operasi menyelamat, kebajikan dan keselamatan.

“Gabungan PgCare pula adalah hasil kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pelbagai NGO yang memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu kesihatan mental, pekerjaan, makanan dan perunding kewangan,” tambahnya.

Tambahnya lagi, selepas berdepan kejadian banjir besar pada 2017, Kerajaan Negeri telah mempunyai banyak pengalaman dalam menyelaras dan mengendalikan situasi berkenaan.

“Kami juga menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya terdapat risiko banjir seperti sistem perparitan tersumbat di kawasan masing-masing,” serunya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa rakyat di negeri ini untuk bersiap sedia sekiranya berlaku bencana susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

“Mereka juga perlu bersedia dengan menyimpan bekalan makanan kering, pakaian dan ubat-ubatan mencukupi untuk digunakan dalam semasa kecemasan.

“Dengan ini, ia boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup mereka sementara menunggu pasukan penyelamat tiba,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN