Kerajaan Negeri sokong semua usaha banteras penyalahgunaan dadah

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dan memberikan sokongan yang jitu terhadap semua usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri bersama-sama Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dan agensi-agensi berkaitan telah menjalinkan kerjasama yang kukuh bagi membolehkan strategi dan pelan tindakan memberi impak positif kepada masyarakat.

“Saya telah dimaklumkan oleh AADK Pulau Pinang bahawa pada tahun 2021, tumpuan penghijauan kawasan berisiko tinggi penagihan dadah di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) adalah di Mukim 21.

Chow Kon Yeow menyempurnakan gimik penutup program Penang Libas Dadah dekat Gelanggang Akira di sini sebentar tadi.

“(Dan) saya yakin kita mampu merealisasikannya memandangkan tahun lepas zon ini adalah kawasan merah, namun pada awal tahun ini telah bertukar kepada warna kuning dan sekarang telah menghampiri hijau.

“Selain itu, tahap kesediaaan komuniti juga telah meningkat dari tahap 4 (prapersediaan) pada 2020 kepada tahap enam (mengambil inisiatif) pada awal 2021, dan kini berada pada tahap 8 (pengekalan),” ujarnya semasa merasmikan penutupan program Penang Libas Dadah 2021 dekat Gelanggang Aikira dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin;
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung serta Setiausaha Kehormat, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Pulau Pinang, Amir Md Ghazali.

Kon Yeow menegaskan bahawa aktiviti penyalahgunaan dadah bukan sahaja memberi impak negatif kepada individu, malah turut mengancam institusi keluarga, masyakarat dan negeri secara amnya.

Beliau berkata, Pulau Pinang dipercayai sering dijadikan pusat pengedaran dadah memandangkan negeri ini mempunyai akses yang mudah sama ada melalui pengangkutan laut mahupun darat.

Sepak raga tuju antara aktiviti yang berlangsung hari ini.

“Saya percaya isu ini telah diberikan perhatian sebaiknya oleh agensi-agensi penguatkuasaan terlibat untuk membanteras ancaman dadah di negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow memuji komitmen ditunjukkan oleh PEMADAM melalui penganjuran program Penang Libas Dadah untuk membawa mesej-mesej penting melibatkan dadah dapat disampaikan kepada komuniti dengan begitu baik.

“Meskipun berdepan dengan pandemik COVID-19, program yang telah dimulakan sejak tahun 2020 masih aktif dan giat merencana pelbagai program termasuk secara maya.

Ketua Menteri bersama-sama barisan tetamu jemputan khas.

“Sebagai penaung kepada pertubuhan ini, saya amat berbangga serta menghargai komitmen dan kerja keras secara berterusan ini terutama dalam memastikan platform PEMADAM dimanfaatkan dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Sementara itu, Norlela yang juga Pengerusi PEMADAM Pulau Pinang berkata bahawa melalui projek Rintis Guar Perahu, Kerajaan Negeri dan AADK Pulau Pinang telah berjaya menukar sembilan kawasan merah menjadi kuning.

“Malah, empat kawasan tumpuan penagihan dadah juga telah berjaya dibersihkan dan ditukar kepada kawasan pertanian untuk mengelakkan kehadiran penagih,” jelasnya.

Difahamkan, seramai 300 peserta dalam kalangan remaja serta belia yang turut terdiri daripada Orang Kena Pantau (OKP) terlibat secara langsung dalam program berkenaan yang berlangsung dari jam 8 pagi tadi.

Pelbagai aktiviti riadah serta sukan termasuk senamrobik, ceramah dan penerangan berkaitan dadah serta sepak takraw tuju telah diadakan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS