Kerajaan Negeri sumbang dron, mesin padi beri manfaat kepada hampir 600 pesawah

Admin

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbangkan dron dan mesin padi bernilai kira-kira RM200,000 yang mampu memberi manfaat kepada hampir 600 pesawah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi memastikan kelestarian industri padi di negeri ini.

Selain itu kata beliau, inisiatif tersebut juga adalah untuk menggalakkan kelompok padi menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing sejak tahun 2020.

Ketua Menteri meneliti operasi mesin padi yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.

“Bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU), kita telah luluskan seunit dron pertanian kepada Koperasi Kelompok Padi Lahar Kepar bernilai RM71,000 dan memberi manfaat kepada 150 pesawah dengan keluasan 190 hektar.

“Penggunaan teknologi seperti dron telah membantu memudahkan aktiviti meracun di samping dapat mengawal penyakit secara berkesan yang secara tidak langsung akan meningkatkan hasil padi.

“Ini penting kerana Pulau Pinang merupakan antara negeri pengeluaran hasil padi yang tertinggi dalam negara walaupun kita mempunyai tanah bersaiz kecil berbanding negeri-negeri lain,” katanya pada sidang media dalam majlis penyerahan peralatan pertanian dan demonstasi mesin padi serta dron dekat Dewan Mini Estet Padi, Permatang Manggis, di sini sebentar tadi.

Rupa bentuk mesin padi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta ramai lagi.

Pada tahun 2021 pula kata Kon Yeow, Kerajaan Negeri meluluskan insentif seunit mesin padi bernilai RM139,200 kepada Kelompok Paya Keladi yang merangkumi 307.9 hektar keluasan padi yang memberi manfaat kepada 441 pesawah.

“Justeru, adalah diharapkan agar usaha-usaha ini dapat memperbanyakkan lagi kawasan yang mengguna teknologi bagi membantu meningkatkan hasil padi dan pendapatan pesawah,” ulasnya lanjut.

Terdahulu, Kon Yeow mengadakan jelajah ke tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dalam Parlimen Kepala Batas iaitu Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal.

Jelajah tersebut adalah sebagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti keperluan masyarakat di kawasan berkaitan terutamanya membabitkan kumpulan petani dan pesawah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD