GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan cadangan pakej insentif bersepadu bagi Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang atau Penang Technology Finance Centre (PTFC) kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam usaha memperkukuh ekosistem pembiayaan teknologi serta menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, cadangan berkenaan terkandung dalam Kertas Putih PTFC yang dikemukakan kepada MOF sebagai asas pertimbangan dan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, pakej insentif yang dicadangkan merangkumi insentif fiskal dan bukan fiskal bagi menyokong pertumbuhan ekosistem pembiayaan teknologi, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta industri berteknologi tinggi.
“Antara cadangan yang dikemukakan termasuk penerokaan kerangka insentif bersesuaian dengan konsep Zon Kewangan Khas, penyelarasan insentif pelaburan dan skim pembiayaan sedia ada, selain pemudahcaraan pelaburan serta pengembangan kepakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah berjaya menarik perhatian MOF terhadap hasrat pelaksanaan insentif PTFC, sekali gus membuka ruang kepada penelitian dan kerjasama lebih lanjut di peringkat Persekutuan.
Malah, tambah beliau, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Cawangan Wilayah Utara turut dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Task Force PTFC bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi berkaitan.
Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri dalam Belanjawan MADANI 2027 mengumumkan bahawa Pulau Pinang telah dipetakan sebagai Pusat Teknologi Negara, sekali gus mengiktiraf cadangan penubuhan PTFC bersama-sama Kerajaan Persekutuan, bagi memperkukuh ekosistem teknologi di Pulau Pinang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS