GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mempertimbangkan pemberian bayaran ex-gratia atau penyediaan tapak ganti bagi tiga lot tanah iaitu Lot 459, Lot 461 dan Lot 466 di Bukit Langkap, Seberang Perai Tengah (SPT), susulan keputusan berhubung cadangan pengambilan tanah di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Negeri pada 2 September 2026.
Menurut beliau, permohonan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi 83 plot yang masih berstatus aktif juga boleh dipertimbangkan oleh Pentadbir Tanah, manakala permohonan LPS baharu ditangguhkan sehingga keputusan lanjut dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Secara prinsipnya, cadangan pembangunan Koridor Wilayah Seberang Perai Tengah (SPT) yang dirancang oleh Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada masa ini tidak menjadikan kawasan Bukit Langkap sebagai plot pembangunan utama.
“Sehubungan itu, aktiviti sedia ada di kawasan berkenaan boleh diteruskan sehingga kajian menyeluruh berhubung pembangunan koridor dan keperluan pembekalan tanah merah dimuktamadkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Zulkefli Bakar pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas dekat sini pada 3 November 2026.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa permohonan pengambilan tanah di Bukit Langkap termasuk tanah kerajaan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) telah diluluskan Pihak Berkuasa Negeri pada 7 Mei 2025 dan diwartakan pada 29 Mei tahun sama.
“Permohonan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8 akta berkenaan diluluskan pada 29 April 2026 sebelum diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 712 dan No. 713 bertarikh 14 Mei 2026.
“Serentak itu, Kerajaan Negeri bersama-sama PDC akan terus memperhalusi perancangan pembangunan Koridor Wilayah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan mengambil kira keperluan pembangunan ekonomi, penggunaan tanah serta aktiviti pertanian sedia ada di Bukit Langkap.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan pembangunan koridor dapat dilaksanakan secara terancang dan seimbang, di samping mengambil kira kepentingan pihak yang terlibat serta keperluan masyarakat setempat,” tambahnya.
Menjawab soalan tambahan selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut mengambil kira keperluan pembinaan lereng bagi menyokong pembangunan projek perindustrian swasta di kawasan berkenaan.
“Buat masa ini, kita akan mulakan dengan kawasan projek industri yang diusahakan pihak swasta terlebih dahulu supaya satu kawasan dapat dimajukan dalam masa terdekat.
“Pada masa sama, kita akan mengambil maklum tentang keperluan untuk membina lereng bagi projek swasta tersebut,” jelasnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD