Kerajaan Negeri terus beri tumpuan terhadap pembangunan modal insan sebagai pemangkin pembangunan negeri – Ketua Menteri

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memberikan tumpuan terhadap pembangunan modal insan yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, bagi tujuan tersebut Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan pemberian sumbangan kepada pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui peruntukan berjumlah RM4 juta dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini.

Chow Kon Yeow menyampaikan cek sumbangan ke IPT kepada salah seorang pelajar yang layak.

 

 

 

 

 

 

“Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang bertindak sebagai panduan untuk wawasan pembangunan masa depan negeri ini memerlukan sokongan serta penglibatan seluruh masyarakat tanpa terkecuali.

“Oleh itu, sumbangan daripada segi ilmu, idea dan kepakaran golongan muda amat diperlukan demi kejayaan negeri tercinta ini.

“Besar harapan Kerajaan Negeri untuk menunggu kepulangan anda semua bagi menggembleng tenaga serta bakat demi Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, dan selamat,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat SP Arena di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat serta ibu bapa dan para pelajar.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga berhasrat mencapai keseimbangan pembangunan dalam pelbagai aspek antara kawasan pulau dan Seberang Perai termasuk merapatkan jurang pendapatan antara masyarakat.

“Keseimbangan pembangunan adalah penting demi memastikan seluruh penduduk dapat menikmati hasil daripada kemajuan sosial dan ekonomi negeri ini.

“Saya percaya kaedah pembangunan yang diamalkan sepanjang 11 tahun ini berjaya mencapai sasaran dan matlamatnya walaupun bukanlah 100 peratus tetapi cukup tinggi untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri teratas daripada segi pembangunan berbanding negeri-negeri lain di negara ini,” katanya.

Difahamkan, seramai 543 pelajar dari daerah SPT yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah di seluruh negara bagi kemasukan September 2019 layak menerima insentif tersebut.

Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan berjumlah RM1,000 manakala Sabah dan Sarawak pula (RM1,200) serta RM300 (peringkat politeknik).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD