Kerajaan Negeri terus komited tingkat infrastruktur sukan dan projek bermanfaat untuk rakyat

Admin

BAGAN JERMAL – Kerja-kerja menaik taraf gelanggang sepak takraw berhampiran rumah pangsa dekat Jalan Mohd. Saad di sini telah siap sepenuhnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek menaik taraf gelanggang sepak takraw tersebut adalah melibatkan kos RM42,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri demi meningkatkan lagi infrastruktur sukan di negeri ini.

Ketua Menteri meluangkan masa bermain sepak takraw bersama-sama pemuda dekat Bagan Jermal semasa mengadakan jelajah ke Parlimen Bagan pagi tadi.

“Projek menaik taraf ini bermula pada 21 Mac dan berakhir pada 16 Mei lalu dengan melibatkan melibatkan kerja-kerja seperti pemasangan pagar berjaring serta panel solar,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas meninjau kemudahan itu sempena Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Bagan di sini pagi tadi.

Dalam lawatan singkat tersebut, Kon Yeow turut meluangkan masa bermain sepak takraw bersama-sama beberapa pemuda sebelum bergerak meninjau projek menaik taraf sistem perparitan berhampiran Pangsapuri Taman Mas di sini.

Seusai merasmikan gelanggang sepak takraw yang siap dinaik taraf.

Menurut beliau, sistem perparitan tersebut akan dinaik taraf kepada konkrit yang dianggarkan sepanjang 150 meter.

“Diharapkan agar dengan siapnya projek sistem perparitan ini ia akan menyelesaikan beberapa isu hakisan di kawasan sekitarnya,” ujarnya.

Menyertai senaman Zumba bersama penduduk setempat.

Terdahulu, Kon Yeow dan delegasi menyertai tarian zumba bersama kira-kira 200 penduduk di taman rekreasi dekat Taman Riang yang merupakan antara lokasi riadah terawal di negeri ini dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Ini kerana kita mahu penduduk di sini berasa selamat menjalankan aktiviti sihat seperti berjoging, dan kita (Kerajaan Negeri) akan terus memantau kawasan ini.

Menyantuni rakyat.

“Beberapa kerja menaik taraf seperti pembinaan trek joging, pemasangan peralatan senaman dan 16 lampu LED juga telah dilaksanakan di taman rekreasi ini bagi memastikan keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan mengadakan lawatan ke gelanggang bola keranjang dekat Taman Bagan di sini dan menyampaikan 40 helai jersi kepada Persatuan Bola Keranjang Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Menteri menyampaikan jersi kepada Persatuan Bola Keranjang Seberang Perai Utara.

Mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang SPU dalam usaha mempromosikan lagi sukan bola keranjang di negeri ini.

“Pimpinan Persatuan Bola Keranjang SPU menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan lagi sukan bola keranjang di daerah SPU khususnya untuk membuka peluang kepada pemain-pemain bukan daripada komuniti Cina.

Beramah-mesra dengan beberapa atlet bola keranjang.

“Justeru, pihak persatuan ingin mengadakan satu inisiatif dengan menyumbangkan peralatan bola kerajang seperti bola, tiang gol, jersi dan lain-lain ke sekolah-sekolah tertentu di daerah SPU.

“Program seperti ini dapat memberi pendedahan awal kepada murid-murid di sekolah kebangsaan dan menengah (kebangsaan) terhadap sukan bola keranjang seterusnya membangkitkan minat mereka untuk mengambil bahagian.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita terbuka untuk bekerjasama dan akan berbincang lanjut dengan pihak persatuan pada masa akan datang,” ulasnya lanjut.

Turut serta dalam siri jelajah tersebut ialah Exco Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; ADUN Bagan Dalam, M. Satees serta Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
VIDEO : DARWINA MOHD. DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD