Kerajaan Negeri terus pantau perkembangan ASF

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan semasa wabak demam babi Afrika (African Swine Fever, ASF) di negeri ini termasuk mengenakan tindakan penutupan 11 ladang babi komersial setakat ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri kini bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam mengenal pasti tanah-tanah yang belum dijual kepada mana-mana pihak untuk digunakan sebagai kawasan pelupusan bangkai babi terjejas.

 

“(Dan) saya berharap, ia (tanah yang dikenal pasti itu) jauh daripada penempatan umum agar dapat mengurangkan impak kepada mana-mana pihak.

 

“Hal ini juga bagi memastikan wabak ini tidak merebak ke kawasan lain apabila ada pihak yang cuba mengurus sendiri pelupusan bangkai babi,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 18 Januari 2023.

 

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan kaedah pelupusan melalui pembakaran, Kon Yeow berkata jumlah babi terlalu besar dan kaedah tersebut adalah tidak praktikal.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa susulan wabak berkenaan serta beberapa sekatan yang dikenakan sedikit sebanyak telah menjejaskan pengeksportan babi ke luar Pulau Pinang.

 

“Walaupun terdapat sekatan pengeksportan, bekalan daging babi untuk pasaran tempatan masih mencukupi.

 

“Hal ini kerana, terdapat lebihan (surplus) bekalan babi di Pulau Pinang meskipun ada ladang (babi) komersial yang terjejas namun masih di atas paras Nisbah Sara Diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR),” katanya.

 

Pada 13 Januari lalu, Kerajaan Negeri mengisytiharkan wabak ASF sebagai ‘bencana’ susulan terdapat kes positif dilaporkan di lima ladang komersial di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

 

Difahamkan, kerja-kerja pelupusan bangkai diteruskan ke ladang-ladang lain yang terjejas.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN