Kerajaan Negeri tidak pernah abai pembangunan syiar Islam – Kon Yeow

Admin
1254ae56 2bf1 435c 9a95 dfa65dbe2924

SUNGAI BAKAP – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa sepanjang pemerintahan Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya, tanggungjawab terhadap pembangunan syiar Islam adalah tidak pernah diabai.

Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut adalah termasuk soal pembangunan dan fasiliti bagi kegunaan umat-umat Islam

seperti pembangunan masjid, surau, sekolah agama dan lain-lain yang dibangunkan sama oleh Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berkaitan.

“Dengan peruntukan tahunan yang melebihi daripada tahun-tahun sebelum ini, saya percaya masih ada kekurangan untuk memenuhi semua keperluan masjid-masjid di seluruh negeri kita.

“Namun, kita (Kerajaan Negeri) akan berusaha untuk terus membantu setakat mana yang termampu” ujarnya pada Majlis Iftar Rakyat Ketua Menteri Bersama Masyarakat Desa di Masjid As-Solihin Kampung Kepala Gajah Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap, Muttaqeen Mustafa; Pengerusi Kariah Masjid As-Solohin, Ismail Hamid dan penduduk-penduduk Kampung Kepala Gajah.

Mengenai isu menambah lot parkir masjid yang diutarakan oleh Ismail, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau akan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib.

“Malah, sekiranya ada isu berbangkit lain, kariah boleh juga bawa kepada Pengawai Penyelaras KADUN, Ahli Parlimen (Nibong Tebal) atau kepada saya sendiri di Batu Kawan sebagai Ahli Parlimen,” maklumnya lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUAHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : DARWINA MOHD. DAUD