Kerajaan Negeri tingkat kesiapsiagaan hadapi banjir – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil beberapa langkah penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku mulai November ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa semua jabatan dan agensi negeri kini berada dalam keadaan bersiap sedia namun persiapan bagi menghadapi bencana masih lagi perlu ditingkatkan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri bertindak melantik tiga Focal Persons di semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta jabatan dan agensi negeri bagi menguruskan bencana sekiranya berlaku.

“Pelantikan Focal Persons ini adalah bagi mengeratkan lagi kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Tambah beliau lagi, Bengkel Pengoperasian Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang turut dilaksanakan melibatkan semua PDT, jabatan dan agensi di negeri Pulau Pinang dengan kerjasama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Bengkel yang disertai oleh 70 peserta berkaitan bertujuan memahami dan mempelajari kemahiran asas pengurusan bencana dengan lebih mendalam.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM400,000 telah diluluskan oleh Jabatan Kewangan Negeri bagi tujuan pembelian aset atau bekalan untuk melancarkan lagi pengurusan bencana banjir.

“Peruntukan khas ini akan diagihkan kepada semua PDT mengikut permohonan yang mana aset dan perolehan perlu dibuat dalam tahun 2022,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunkasi.

Bukan itu sahaja, kata beliau lagi, Kerajaan Negeri juga menerima sumbangan sebanyak 4,744 unit khemah (C-Tent) yang telah diagihkan kepada semua PDT sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan.

“Malah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan tindakan kecemasan (ERT) dan lain-lain pertubuhan berkaitan juga telah bersiap sedia,” katanya lagi sambil menambah bahawa semua PDT akan melaporkan tahap kesiapsiagaan masing-masing pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dijadualkan pada 29 September ini.

Justeru, Kon Yeow mengingatkan semua agensi negeri terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik.

“JPS dan JKR perlu pastikan sistem saliran kita tidak tersumbat oleh sampah-sarap kerana ini merupakan punca utama yang menyebabkan bencana banjir.

“Kepada masyakarat pula, kita menyeru agar tidak membuang sampah ke sungai dan sistem saliran kerana sampah-sarap akan mengganggu sistem saliran dan menyebabkan banjir,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN