Kerajaan Negeri, TLDM jalin kerjasama berterusan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Panglima Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Ee (Yee) Tai Peng di pejabatnya di sini.

Mengiringi Tai Peng, ialah Pegawai Memerintah KD Sri Pinang, Komander Lui Poh Lin dan Pegawai Wakil TLDM Pulau Pinang, Leftenan Komander Muhamad Fadhil Samsuddin bersama-sama pegawai pengiring TLDM.

EE (Yee) Tai Peng.

Dalam pertemuan tersebut, Tai Peng menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kon Yeow dan pimpinan negeri lain atas layanan dan kerjasama yang baik sepanjang 20 bulan beliau berkhidmat di Wilayah Laut 3.

Selain berbincang mengenai isu semasa berhubung bidang tugas TLDM, Tai Peng juga menyuarakan cadangan untuk membawa kapal perang ke Pulau Pinang pada sambutan Hari Kebangsaan nanti susulan kejayaan menganjurkan Hari Terbuka Kapal TLDM pada April lalu sempena sambutan Ulang Tahun Ke-89 TLDM.

EE (Yee) Tai Peng menyerahkan plak gencana TLDM kepada Ketua Menteri di sini.

 

Sementara itu, Kon Yeow yang turut hadir pada penganjuran Hari Terbuka Kapal TLDM tempoh hari menyambut baik cadangan tersebut dan mengalu-alukan pihak TLDM untuk bekerjasama dalam penganjuran acara pada masa depan sekali gus dilihat membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat aset-aset angkatan laut itu.

Pada kesempatan itu, Kon Yeow menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Tai Peng atas tawaran kenaikan pangkat dan bakal bertukar ke Kuala Lumpur pada 22 Jun ini.

Beliau berharap agar Tai Peng dan semua angkatan TLDM akan terus bersemangat melaksanakan tugas dalam melindungi dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara.

Akhir pertemuan, Kon Yeow menerima cenderamata dari Tai Peng berupa topi, plak gencana dan duit syiling sebagai tanda kenang-kenangan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING