Kerajaan Negeri tubuh jawatankuasa khas bantu kanak-kanak yatim akibat COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membantu kanak-kanak di negeri ini yang kehilangan ibu atau bapa akibat pandemik COVID-19 khususnya dari segi kebajikan dan kesihatan mental.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa sebanyak dua keluarga di negeri ini telah kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat COVID-19.

Beliau berkata, seramai 299 lagi kanak-kanak di negeri ini telah kehilangan ibu atau bapa membabitkan 224 orang kaum Melayu diikuti Cina (47), India (24) dan lain-lain (4).

“Data ini diperoleh daripada pelbagai agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sehingga 23 Novermber lalu.

“Semua mereka dijaga oleh sama ada ibu (187 orang), bapa (71) atau saudara-mara (41) dan telah dibantu serta dipantau rapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Susulan itu juga, Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk membantu kanak-kanak ini daripada segi kesihatan mental dan kebajikan mereka,” katanya semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14, di sini sebentar tadi.

Selain itu, Norlela menjelaskan bahawa sebanyak RM111,000 sumbangan daripada Tabung Covid-19 Pulau Pinang telah disalurkan kepada 111 pelajar yatim yang kehilangan ibu atau bapa akibat COVID-19 dari kategori B40 dari 21 sekolah di negeri ini.

“Sumbangan ini telah diusahakan oleh Presiden Lions Club Bayan Baru yang telah mengumpul dana untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 setiap seorang,” ujarnya lagi.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD