Kerajaan Negeri ulangi pendirian pelaksanaan kajian terperinci cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengulangi pendirian bahawa satu kajian terperinci perlu dilaksanakan berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim yang telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perkara itu penting memandangkan hasil dua laporan oleh juru perunding berkaitan kebolehlaksanaan lapangan terbang berkenaan didapati bakal memberi impak ‘negatif’ kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan negeri ini amnya.

“Kerajaan Negeri berpendirian tegas bahawa pihak Kementerian Pengangkutan perlu meneliti perkara ini sekali lagi.

“Kajian yang lebih terperinci perlu dilaksanakan agar cadangan pembangunan tersebut adalah holistik dan menguntungkan semua pihak,” katanya semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Gooh Choon Aik pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut memberitahu bahawa cadangan penambakan laut di selatan bahagian pulau Negeri merupakan sesuatu yang holistik dalam usaha melonjakkan ekonomi negeri.

“Cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di atas tanah tambakan tersebut adalah suatu pilihan yang boleh dipertimbangkan,” jelasnya.

Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : LAW SUUN TING