Kerajaan Negeri umum pelantikan Ahli Majlis MBPP dan MBSP tahun 2020

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan pelantikan 48 individu sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pelantikan baru tersebut membabitkan masing-masing 24 Ahli Majlis bagi MBPP dan MBSP (24).

Menurut beliau, seramai sembilan Ahli Majlis bagi MBPP yang dilantik adalah daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP); Parti Keadilan Rakyat, PKR (7); Parti Amanah Negara, Amanah (2); Parti Peribumi Bersatu, PPBM (2) dan empat individu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagi MBSP pula, ulasnya adalah membabitkan sembilan Ahli Majlis yang dilantik adalah daripada DAP; PKR (8); Amanah (2); PPBM (2) dan NGO (3).

“Pelantikan Ahli Majlis bagi MBPP pada tahun ini memperlihatkan 11 muka baru dan 13 lagi adalah lantikan semula, manakala bagi MBSP pula pelantikan adalah melibatkan 16 lantikan semula dan lapan lagi muka baru.

“Majlis angkat sumpah terima jawatan bagi Ahli Majlis MBPP adalah pada 10 Januari ini (Jumaat) manakala MBSP, 11 Januari (Sabtu).

“Calon-calon yang dinamakan sebagai Ahli Majlis adalah terdiri daripada pelbagai kaum serta merangkumi golongan profesional yang berpengalaman seperti peguam, jurutera, pensyarah, pengarah syarikat dan ahli perniagaan,” kata Jagdeep pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) serta Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan).

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa pelantikan Ahli majlis juga terdiri daripada kalangan wanita untuk memberi peluang kepada golongan berkenaan memainkan peranan lebih besar dalam proses membuat keputusan.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembuat dasar di setiap peringkat adalah golongan wanita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa hampir separuh daripada Ahli Majlis yang dilantik bagi tahun 2020 adalah terdiri daripada muka baru.

“Senarai memperlihatkan bahawa Ahli-Ahli Majlis yang dilantik adalah terdiri daripada muka lama (lantikan semula) malah dua daripadanya telahpun berkhidmat selama 11 tahun.

“Majoriti muka baru yang dilantik pula adalah bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkhidmat kepada rakyat,” ulas beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : CHAN KOK KUAN