Kerajaan New Zealand tangani krisis dengan baik, naikkan moral umat Islam -ADUN

Admin

BAYAN LEPAS – Dua wakil Kerajaan Negeri yang ditugaskan untuk membantu keluarga mangsa tembakan rambang di Christchurch, New Zealand selamat sampai ke Pulau Pinang semalam.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) kira-kira jam 9:30 malam.

Boon Poh yang ditemui sejurus tiba merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuklah pihak kedutaan Malaysia di New Zealand, Kementerian Kewangan, Persatuan Canterbury Malaysian Society Incorporated dan Kerajaan New Zealand yang banyak memberikan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

“Saya amat berpuas hati dengan layanan Kerajaan New Zealand kerana mereka bersetuju untuk membiayai kos dan memberikan rawatan terbaik sekali bertaraf ACC iaitu melalui pembiayaan insurans di sana,” ujar beliau dalam satu temu bual ringkat di PIA semalam.

Ditanya berkenaan keadaan Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Bijai, Bayan Lepas yang mengalami kecederaan selepas terkena tembakan, Boon Poh memberitahu keadaan beliau semakin pulih.

“Cuma kali terakhir kami jumpa difahamkan dia (Rahimi) diberikan sedatif supaya beliau dapat berehat berikutan terdapat peluru yang terkena saraf, namun Kerajaan New Zealand memberikan jaminan bahawa mereka akan memberi rawatan terbaik kepada rakyat Malaysia,” jelasnya yang juga ADUN Sungai Puyu.

Dalam pada itu, menyentuh berkenaan penerbangan pulang keluarga Rahimi ke Malaysia kelak, Azrul memberitahu segalanya telah disediakan oleh Kerajaan Negeri.

“Saya difahamkan keluarga Rahimi akan berada di sana sampai 1 April ini, dan esok (21 April) akan ada lagi satu perjalanan ke Christchurch dikelola oleh Ahli Parlimen Balik Pulau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik,” ujar beliau.

Bercerita mengenai suasana di sana selepas insiden berdarah itu, beliau menyatakan rasa terharu apabila pelbagai bangsa serta agama bersatu hati dengan melahirkan rasa simpati dan meletakkan jambangan bunga tertera nota ringkas seperti ‘Love Not Hate’.

“Malah, saya kagum dengan Kerajaan New Zealand dalam menangani krisis ini, secara tak langsung ia menaikkan semula moral komuniti Islam di sana,” jelas beliau.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING