Kerajaan sasar tingkat kapasiti SSL daging, susu

Admin

SEBERANG JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyasarkan untuk meningkatkan tahap kecukupan diri (SSL) bagi daging ruminan daripada 24.4 peratus bagi tahun 2017 kepada 30 peratus, begitu juga dengan pengeluaran susu segar daripada 58 peratus kepada 100 peratus.

Menteri Dato’ Salahuddin Ayub berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pengembangan Dan Hari Inovasi 2018 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dekat Hotel Ixora Seberang Jaya di sini pada 9 Oktober 2018.

Demi menggalakkan aktiviti pembiakan, katanya, kaedah penternakan integrasi akan dipergiat melalui peningkatan kawasan ragutan sawit sedia ada seluas 740,646 hektar kepada 1.45 juta hektar, yang mampu menampung kawasan ragutan kepada 227,708 induk dengan kemampuan peningkatan penghasilan daging dijangkakan sehingga 28,463 metrik tan setahun.

“Sudah 60 tahun kita (tanah air) merdeka, (daging) lembu kita tak cukup, (daging) kambing kita tak cukup…cabaran kita adalah (meningkatkan kapasiti SSL) daging dan susu.

“Jabatan Veterinar boleh berjaya, jika kita bawa aspirasi ini (iaitu tumpuan pada meningkatkan SSL daging ruminan dan susu),” jelas Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada majlis berkaitan.

Tambah beliau, Jabatan Veterinar juga mesti memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran susu, menerusi beberapa pendekatan demi menambah upaya industri secara terancang.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam membentangkan pencapaian serta hala tuju jabatan dalam tempoh lima tahun ini.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya yakin dalam tempoh lima tahun ini, pengeluaran susu segar yang ketika ini kira-kira 58 peratus, dapat ditingkatkan kepada 100 peratus.

Menerusi Program Rintis, menurut Quaza Nizamuddin, zon penternakan tenusu dilaksanakan seperti Lembah Tenusu Muadzam meliputi kawasan Pekan, Segamat dan Bandar Muadzam; Lembah Tenusu Johor (Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Johor Bharu); Lembah Tenusu Utara (Sungai Siput, Pondok Tanjong, Pulau Pinang dan Kedah); Lembah Tenusu Sabah (Tenom, Keningau, Ranau, Kota Marudu dan Kudat) serta Lembah Tenusu Sarawak (Kuching dan Serian).

“Yang penting buat Kementerian Kewangan, di peringkat kita (Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia) jua sedang membuat pengurusan (program pengembangan ini,” ujar beliau.

Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar, Dr Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut sertai majlis perasmian pada pagi tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD