“Kerja 20 tahun, pertama kali diiktiraf,” Pekerja Am Skuad Khas MPSP

Admin
SEORANG Pekerja Am Skuad Khas MPSP sedang melakukan kerja-kerja pembersihan longkang di Kampung Aston, Bukit Mertajam. Longkang yang dipenuhi dengan sisa-sisa najis itu tidak pernah dibersihkan dalam tempoh 60 tahun.
KOMITED dengan tugas diamanatkan, kerja-kerja pembersihan dilakukan di mana sahaja apabila diperlukan. Ini termasuk di kawasan longkang-longkang berdiameter kecil.
KOMITED dengan tugas diamanatkan, kerja-kerja pembersihan dilakukan di mana sahaja apabila diperlukan. Ini termasuk di kawasan longkang-longkang berdiameter kecil.

OLEH : YAP LEE YING

GAMBAR : CHAN LILIAN

SEBERANG PERAI – Bagaikan sudah biasa dengan rutin setiap pagi, apabila lori yang membawa mereka berhenti, pekerja-pekerja Am Skuad Khas Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terus mengambil peralatan masing-masing dan menjalankan kewajipan membersihkan seluruh kawasan diamanahkan.

Berlandaskan pengorbanan dan komitmen golongan tersebut, buat julung kalinya, Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) telah mengambil inisiatif khas untuk mengiktiraf 23 pekerja Am dengan penyampaian anugerah khas baru-baru ini. Walaupun pemberian tersebut tidak setimpal dengan pengorbanan yang telah dicurahkan, ia sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan memberi harapan kepada rakyat Pulau Pinang.

Lanjutan daripada penganugerahan tersebut, ia telah menarik minat Buletin Mutiara (BM) untuk menemubual penerima-pemerima pingat khas berkenaan. Ikuti kisah-kisah dan pengalaman-pengalaman wira-wira tidak disanjung ini sepanjang perkhidmatan mereka di dalam tempoh 20 hingga 30 tahun sebagai Pekerja Am Skuad Khas MPSP.

S.Darmalingam.
S.Darmalingam.

Ketika sesi temuramah dijalankan, S. Darmalinggam, 50, sedang sibuk memancut air bagi mengeluarkan kotoran pada dinding longkang di Pasar Bagan Ajam. Melihat kepada fizikalnya, adalah sukar dipercayai bahawa bapa kepada tiga cahaya mata tersebut telah berusia 50 tahun.

Bagi memulakan perbualan, BM telah berseloroh dengan menyatakan bahawa semua wira-wira di sebalik tabir ini nampak muda dan cergas. Dengan segan silu, Darmalinggam melemparkan senyuman sambil memberikan alasan bahawa setiap hari mereka bersenam dan menghidu ‘udara segar’.

Bagi Darmalinggam yang telah 20 tahun berkhidmat sebagai Pekerja Am Skuad Khas MPSP, pengalaman paling tidak boleh dilupakan adalah ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang di Kampung Aston, Bukit Mertajam pada tahun 2004.

Kami telah menerima laporan bahawa longkang di kampung tersebut telah tersumbat. Seperti biasa, kami mengambil peralatan yang perlu dan terus menuju ke destinasi bagi tujuan pembersihan.

Dengan keadaan longkang 3 inci lebar, saya bersama seorang lagi rakan telah merangkak memasukinya. Tidak boleh digambarkan! Longkang tersebut dipenuhi najis dan ekoran tidak dibersihkan di dalam tempoh yang terlalu lama, semua najis dan sisa-sisa sampah telah menjadi karang sehingga mengeluarkan gas,’’ katanya pada sesi temuramah bersama BM di sini baru-baru ini.

Tanpa memakai topeng muka, Darmalinggam berada di dalam saluran longkang tersebut kira-kira setengah jam sebelum dipaksa keluar ekoran bau gas yang terlalu kuat. Ketika itu, beliau telah dimaklumkan bahawa longkang berkenaan tidak pernah dibersihkan dalam tempoh 60 tahun dan saluran tersebut umpama loji kumbahan kepada beberapa rumah kediaman di kampung berkenaan.

Secara bergilir-gilir, saya dan rakan-rakan masuk dan keluar dari saluran longkang tersebut. Malah, bagi mengeluarkan sisa-sisa najis itu, pasukan kami telah mencipta satu troli khas bersesuaian dengan saiz longkang terbabit,’’ ujarnya yang begitu bersyukur apabila Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan ekoran sumbangan dan pengorbanan beliau selama ini.

Inilah kali pertama Kerajaan Negeri ’nampak’ kami. Sebelum ini, di bawah pemerintahan kerajaan lama (Kerajaan BN), pihak pemimpin hanya memberi pengiktirafan kepada pihak-pihak atasan sahaja,’’ ujar Darmalinggam sambil menyatakan bahawa beliau masih menyimpan wang tunai RM500 yang diterimanya daripada Ketua Menteri baru-baru ini.

JASNI Lah.
JASNI Lah.

Dalam pada itu, bagi Jasni Lah, 50, menyatakan bahawa gerak kerja Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan PR adalah lebih cepat atau dengan kata lain ’on the spot’.

Kalau kerajaan dulu (Kerajaan BN), kita boleh tunggu esok atau lusa untuk selesaikan aduan. Tapi kini, bawah PR, semua kena buat pada kadar segera. Semua kena bergerak dengan cepat dan tepat,’’ katanya yang juga telah menabur khidmat selama 20 tahun.

Jasni yang berasal dari Parit Buntar, Nibong Tebal menganggap pengiktirafan yang diterima daripada Kerajaan Negeri sebagai rezeki bagi dirinya.

Saya berasa bangga. Setelah 20 tahun, baru ini pertama kali pertama mendapat anugerah. Alhamdulilah,’’ ujarnya.

Mengulas mengenai pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang perkhidmatan beliau, Jasni memberitahu bahawa kejadian tersebut berlaku kira-kira lima tahun lalu di Jalan Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam.

Ketika itu, skuad kami menerima aduan bahawa terdapat sebatang pokok setinggi 20 kaki telah menghempap sebuah rumah. Apabila tiba di lokasi, saya terus memanjat pokok tersebut untuk melakukan kerja-kerja pemotongan.

Tanpa dimaklumkan oleh tuan rumah, saya terkejut apabila ternampak sarang tebuan besar di salah satu dahan pokok berkenaan. Apabila rakan-rakan dan penduduk kawasan yang berada di bawah turut menyedari akan bahaya terbabit, sebahagian besar daripada mereka telah melarikan diri.

Saya cuba untuk turun dari pokok tersebut, namun, sekumpulan tebuan telah mula terbang mengerumuni kepala saya. Ketika itu, saya terus mematikan enjin mesin pemotong, memeluk batang pokok dan duduk diam selama kira-kira setengah jam,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa beliau hanya mampu berdoa pada saat-saat genting tersebut.

G. Edmond.
G. Edmond.

Sementara itu, cabaran yang sama turut dirasai oleh dua pemandu Skuad Khas MPSP, G.Edmond, 57, dan A.Agustin, 54 yang masing-masing telah berkhidmat selama 31 dan 34 tahun.

Sebagai pemandu, kami perlu belajar membawa semua jenis kenderaan bagi kesesuaian laporan kecemasan yang diterima.

Sekarang kerajaan sangat bagus. Momentum kerja perlu cepat dan tepat berbanding dahulu yang lazimnya sering menunggu hari esok,’’ katanya mereka.

Skuad Khas MPSP merupakan pasukan yang ditubuhkan untuk membantu dalam semua kejadian atau laporan kecemasan seperti ribut, banjir, kemalangan dan lain-lain dalam tempoh 24 jam.

Ketua Skuad Khas MPSP, M.Raju memberitahu BM bahawa terdapat kira-kira 50 kakitangan yang bertugas di bawah skuad tersebut dan jadual tugas mereka terbahagi kepada tiga syif.

S. Darmalingam memancut air bagi mengeluarkan kotoran pada dinding longkang di Pasar Bagan Ajam di sini.
S. Darmalingam memancut air bagi mengeluarkan kotoran pada dinding longkang di Pasar Bagan Ajam di sini.

SEORANG Pekerja Am Skuad Khas MPSP menggunakan troli magnet bagi mengesan dan mengeluarkan bahan-bahan buangan besi seperti paku yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pihak awam dan kanak-kanak.
SEORANG Pekerja Am Skuad Khas MPSP menggunakan troli magnet bagi mengesan dan mengeluarkan bahan-bahan buangan besi seperti paku yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pihak awam dan kanak-kanak.