Jalan rakyat Pulau Pinang – laluan alternatif percuma untuk rakyat

Admin

 

BUTTERWORTH – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi telah mengotakan janji mereka kepada rakyat dengan membina laluan alternatif percuma yang menghubungkan Jalan Bagan 29 dengan Jalan Siram.

Projek pembinaan jalan sepanjang satu kilometer ini melibatkan pembinaan jalan baru dan penaiktarafan jalan sedia kepada empat lorong iaitu dua lorong sehala yang melibatkan pengambilan tanah dengan nilai RM2.42 juta.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, kos pembinaan yang tinggi berjumlah RM2.5 juta ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri demi menjamin keselesaan hidup rakyat.

Projek pembinaan jalan ini merupakan salah sebuah projek yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Berjiwa Rakyat terhadap keperluan infrastruktur rakyat negeri Pulau Pinang amnya dan penduduk di sekitar kawasan Bagan Dalam, Butterworth,” kata beliau ketika merasmikan Upacara Pembukaan Jalan Penghubung di Jalan Bagan 29/Jalan Siram, Seberang Perai Utara, baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri sentiasa berkhidmat dan memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Pulau Pinang. Jalan ini juga digelar ‘Jalan Rakyat Pulau Pinang’.

Kerajaan Negeri sememangnya amat peka mendengar suara rakyat dan komited menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya di kawasan Bagan Dalam. Dengan siapnya projek ini, jalan baru ini akan memberi faedah yang amat besar kepada penduduk sekitar Bagan Dalam kerana ianya menyambungkan Jalan Bagan 29 sedia ada yang merupakan ‘jalan mati’ sejak dibina pada tahun 1990-an. Pada masa sama, ia juga memendekkan jarak serta masa perjalanan penduduk tempatan melalui jalan pintasan ini dan akhirnya mengurangkan kesesakan lalulintas yang telah lama berlaku,” ujarnya lagi.

Beberapa pihak yang telah menjayakan projek berkenaan adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Seberang Perai Utara dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengakutan, Lim Hock Seng, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri, Mokhtar Jait, ADUN Permatang Pasir, Salleh Man dan beberapa orang kenamaan yang lain.