Kerja keras dalam 36 jam jika mahu ‘tawan’ Putrajaya, kata calon PH di Batu Kawan

Admin
KETUA Menteri (duduk, berbaju merah, tengah) menyantuni seorang usahawan wanita desa semasa jerayawara di Kampung Kebun Sireh di sini pada 17 November 2022.

BUKIT TENGAH – Tinggal kira-kira 36 jam berbaki sebelum hari pembuangan undi pada 19 November 2022 (Sabtu), calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan, Chow Kon Yeow berharap pasukannya dapat terus bekerja dengan lebih keras bagi mempertahankan mandat kemenangan bagi kerusi Parlimen tersebut.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Ketua Menteri berharap gabungan parti politik mereka dapat sekali lagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang stabil pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Kita sudah masuk hari kedua terakhir sebelum hari pengundian.

“Saya percaya Pakatan Harapan telah berjaya menyampaikan kepentingan pilihan raya umum akan datang untuk memberi Pakatan peluang kedua untuk mengubah dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

“Kita (PH) tahu ia adalah satu tugas yang mencabar, tetapi kita fikir daripada maklum balas (penduduk lokal), kita semakin hampir untuk ‘memenangi’ Putrajaya.

“(Sehubungan itu,) kita hanya perlu berusaha sedikit lebih keras dalam 36 jam akan datang,” tegasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang kepada pemberita selepas acara jerayawara di Kampung Tersusun dekat Simpang Ampat dekat sini pada 17 November 2022.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung merupakan antara pemimpin yang menyertai acara jerayawara bersama-sama Kon Yeow yang jua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sehingga tengah hari tadi, pasukan kempen Kon Yeow turut mengadakan jerayawara ke Kampung Gambir dan Kampung Kebun Sireh.