BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap aduan serta maklum balas orang ramai berhubung isu kesalinghubungan antara Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth, Penang Sentral dan Terminal Feri Pulau Pinang.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke Stesen KTM Butterworth dan Penang Sentral di sini pada 19 Januari 2025.
Menurut Zairil, pelbagai aduan telah diterima susulan insiden yang berlaku pada 8 November tahun lepas melibatkan sebuah tren KTM Komuter enam gerabak terlajak ke hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth.
“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri menerima aduan daripada orang ramai, khususnya berkaitan ketidakselesaan dan isu kesalinghubungan tersebut.
“Dalam lawatan tapak hari ini, kami dapati bahawa kerja-kerja menaik taraf yang signifikan telah siap dilaksanakan serta beberapa lagi projek sedang dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Antaranya ialah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sebagai pemilik aset, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) selaku pengendali Penang Sentral.
“Saya percaya kebanyakan aduan diterima pada November dan Disember tahun lepas adalah susulan daripada insiden tren melanggar sebahagian bangunan Stesen KTM Butterworth,” katanya pada sidang media usai lawatan tapak tersebut.


Zairil berkata atas faktor keselamatan, laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen KTM Butterworth dan Penang Sentral telah ditutup sementara selama sebulan setengah, sekali gus menyebabkan ketidakselesaan kepada para penumpang.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa isu itu telah selesai apabila laluan sepanjang 200 meter (m) yang dilengkapi sistem penyaman udara serta memenuhi piawaian reka bentuk sejagat dan keperluan teknikal telah dibuka semula.
“Walaupun masih terdapat pengguna yang merasakan agak sukar untuk membawa bagasi melalui laluan tersebut, pergerakan pada kadar yang lebih perlahan sepatutnya memudahkan perjalanan kerana pembinaannya telah mematuhi piawaian reka bentuk sejagat,” katanya.
Selain itu, Zairil berkata kebanyakan kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan baik, manakala kemudahan yang memerlukan perhatian sedang ditangani.
“Sebagai contoh, isu lif yang kerap rosak telah menyebabkan pengguna tiada pilihan lain selain menggunakan tangga, yang sememangnya menyukarkan mereka.
“Isu-isu ini sedang ditangani menerusi projek menaik taraf untuk membina eskalator (tangga bergerak) di kedua-dua platform Stesen Butterworth.
“Peruntukan untuk projek ini telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja dijangka dapat dimulakan dalam masa terdekat.
“Projek ini kini berada pada peringkat penilaian tender dan merangkumi pemasangan eskalator di kedua-dua platform selain kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di stesen KTM ini akan diasingkan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa Stesen KTM Butterworth akan dinaik taraf melalui peruntukan RM30 juta.
Projek tersebut bertujuan mentransformasikan stesen berkenaan, bersama dengan Terminal Feri Butterworth dan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan awam bersepadu.
Zairil berkata, pada masa ini semua aktiviti mengambil dan menurunkan penumpang adalah di kawasan lobi sahaja, sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas.
“Perkara ini merupakan antara aduan utama berkaitan kawasan sekitar stesen KTM.
“Dengan pengasingan zon mengambil dan menurunkan penumpang, aliran trafik dijangka bertambah baik dengan ketara,” katanya.
Sementara itu, zairil berkata di Penang Sentral, MRCB turut melaksanakan langkah proaktif bagi menambah baik operasi perkhidmatan e-hailing.
“Sebelum ini, lokasi mengambil dan menurunkan penumpang bagi Grab terletak di Aras 8, yang menyukarkan pemandu kerana perlu naik ke beberapa aras.
“Mulai sekarang, perkhidmatan ini akan dipindahkan ke Aras 2 dan Aras 2A, dengan Aras 2 dikhaskan untuk teksi manakala Aras 2A untuk perkhidmatan Grab yang dilengkap dengan ruang menunggu.
“Secara keseluruhan, kami melihat pelbagai inisiatif proaktif telah dan sedang dilaksanakan oleh semua agensi berkaitan.
“Justeru, kami ingin merakamkan penghargaan atas kecekapan dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penumpang.
“Sekiranya masih ada aduan diterima, ia akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan, tetapi kerjasama antara agensi yang terlibat adalah amat baik dan tiada isu besar dilaporkan setakat ini,” katanya.
Zairil menambah bahawa tempoh paling mencabar berlaku adalah pada November dan Disember yang insiden tersebut berlaku bersamaan dengan musim cuti sekolah, sekali gus menimbulkan kesukaran kepada pengguna.
“Dalam tempoh itu, penumpang terpaksa berjalan melalui kawasan yang tidak berbumbung dan tanpa penyaman udara, yang sememangnya menimbulkan ketidakselesaan,” katanya.
Menurut Zairil, satu lagi isu yang dibangkitkan oleh pengguna ialah penyelarasan jadual antara perkhidmatan feri dengan KTM Komuter, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta mod pengangkutan lain.
“Langkah-langkah telah diambil bagi menambah baik penyelarasan jadual, namun, seperti mana-mana sistem pengangkutan awam, khususnya bas dan feri, kelewatan boleh berlaku dari semasa ke semasa.
“Perkhidmatan tren lazimnya menepati masa, dengan kelewatan biasanya hanya beberapa minit tetapi erkhidmatan feri pula boleh terjejas disebabkan keadaan cuaca atau masalah teknikal, yang boleh menjejaskan perancangan perjalanan yang ketat.
“Oleh itu, penumpang dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan teliti, terutamanya apabila menggunakan mod pengangkutan yang lebih terdedah kepada kelewatan seperti feri atau bas.
“Walaupun penyedia perkhidmatan berusaha meminimumkan gangguan dan kelewatan jarang berlaku, adakalanya kelewatan tidak dapat dielakkan.
“Oleh itu, pengguna perlu bijang merancang dengan menyediakan masa tambahan akan memastikan perjalanan menjadi lebih lancar dan kurang tekanan,” tambahnya.
Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah menasihatkan pengguna supaya memberi perhatian lebih kepada jadual pengangkutan awam dan merancang perjalanan dengan sewajarnya.
“Itulah nasihat saya, namun, sekiranya terdapat sebarang aduan, Kerajaan Negeri bersedia untuk mendengar dan kami akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS