Kerja-kerja tambah baik struktur Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ambil masa sebulan – Datuk Bandar MBPP

AR. Yew Tung Seang dalam sidang media selepas mengadakan lawatan sekali lagi di bahagian paling rendah pada Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus lewat petang tadi.

PAYA TERUBONG – Kerja-kerja penambahbaikan struktur fizikal sedia ada pada bahagian tertentu Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus bagi mengelak risiko air bertakung daripada berulang pada masa hadapan, akan mengambil masa selama sebulan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata demikian selepas melihat sendiri sebahagian kerja-kerja menambah baik struktur sistem aliran keluar air pada bahagian paling rendah di ‘lebuh raya tertinggi negara’ tersebut tadi.

KERJA-KERJA menebuk lima ‘lubang tambahan’ sebagai langkah cegah rintang bagi mengurangkan lagi risiko air bertakung di bahagian paling rendah Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus tadi.

Jelasnya lagi, pada kedua-dua hala lebuh raya tersebut masing-masing akan diwujudkan lima sistem aliran keluar air tambahan.

“Di sini adalah titik terendah pada lebuh raya (yang terjadi takungan air sebelum ini) yang mana reka bentuk saluran keluar air akan diperkemas lagi dengan memasang paip bawah yang lebih besar (iaitu) kami telah menukar paip bawah (lebuh raya) daripada 4 inci kepada 6 inci.

“Pada masa yang sama juga, kita akan membuat lima lubang tambahan dengan saiz yang lebih besar (masing-masing di lebuh raya dua hala tersebut) sebagai langkah cegah rintang jika sistem aliran keluar air sedia ada tersumbat (dek sisa plastik lagi),” jelasnya sebagai menjawab soalan pemberita di sini pada 11 Februari 2022.

Di samping itu, beliau sekali lagi memberitahu bahawa sistem aliran keluar air yang tersumbat dek sisa plastik yang terjadi di sini sebelum ini adalah tidak wajar dianggap sebagai elemen kecacatan pada reka bentuk struktur fizikal.

“Kami (MBPP) telah melakukan sebaik mungkin yang boleh dengan melantik pemeriksa bebas, perunding pakar kejuruteraan…dalam hal ini (insiden takungan air) kami juga telah meminta nasihat daripada IEM (Institut Kejuruteraan Malaysia),” katanya sambil memberitahu bahawa MBPP membiayai fasa 1 projek tersebut demi meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.

Sidang media ringkas tersebut turut disertai oleh beberapa Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dan wakil kontraktor bagi projek tersebut.

Difahamkan, Fasa 1 Projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus bernilai RM378.2 juta tersebut merupakan antara peruntukan paling besar yang dibiayai oleh PBT berkenaan setakat ini.

Projek infrastruktur awam tersebut siap pada 24 Disember tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan (DLP) adalah selama 24 bulan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI