Kerja menaik taraf Surau Krystal Heights selesai

SERI DELIMA – Kerja-kerja menaik taraf Surau Krystal Heights dekat Island Glades, di sini siap sepenuhnya dengan kos RM100,000 yang dibiayai oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syeerlena Abdul Rashid berkata kerja-kerja menaik taraf adalah termasuk pengecatan semula, pembinaan setor dan pemasangan tiga unit pendingin udara yang dilaksanakan melalui tender terbuka.

Selain itu katanya, kerja-kerja menaik taraf turut membabitkan pembaikan tempat wuduk, pemasangan jubin lantai serta pintu jerejak dan tingkap.

Keadaan surau selepas dinaik taraf.

“Sebelum ini saya telah menulis surat pemohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut serta JHEAIPP untuk kerja-kerja menaik taraf surau Krystal Heights.

“Saya telah mendapat maklum balas dari JHEAIPP bahawa pihak mereka telah meluluskan sejumlah RM100,000 sebagai peruntukan untuk kerja-kerja menaik taraf surau berkenaan.

“(Dan) pada 13 September tahun lepas, pihak JHEAIPP telah mengeluarkan sebutharga untuk tender terbuka dan pemilihan kontraktor telah dikendalikan sepenuhnya oleh pihak mereka.

“Tempoh kerja-kerja menaik taraf ini adalah selama lapan minggu bermula awal Oktober hingga 31 Disember 2021,” katanya pada sidang media dekat surau berkenaan di sini semalam.

Turut hadir, Penghulu Parlimen Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Glades, Teh Liang Teik serta Pengerusi Surau Krystal Heights, Zakaria Hussain.

Pada masa sama, Syeerlena turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JHEAIPP dan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur atas kerjasama yang diberikan dalam projek menaik taraf surau tersebut demi keselesaan komuniti di kawasan itu.

“Dalam masa terdekat pihak surau dan saya akan menganjurkan program gotong-royong dan majlis sambutan Bulan Ramadan.

“Pihak saya akan turut menyumbang langsir dan tempat penyidai kain sejadah serta beberapa lagi keperluan yang diperlukan oleh pihak surau,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN