Kerja naik taraf saliran longkang Kompleks Makanan Padang Brown mula September ini

GEORGE TOWN – Demi keselesaan peniaga dan pengunjung di Kompleks Makanan Padang Brown, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tindakan jangka panjang dengan menaik taraf saliran longkang bawah tanah di kompleks berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng ketika mengumumkan projek berkenaan berkata, langkah tersebut diambil hasil daripada aduan para peniaga di kawasan berkenaan.

“Penjaja ada mengadu kepada Majlis, saliran belakang ini kerap melimpah, jadi kami cari penyelesaian jangka panjang dan MBPP putuskan untuk menggantikan saliran paip longkang sedia ada.

“Antara skop kerja terlibat adalah menggantikan paip 50 milimeter (mm) kepada 100 hingga 150mm, kerja-kerja pengorekan, perobohan, pembuangan paip sedia ada dan pembersihan.

“Kerja-kerja ubah suai ini hanya melibatkan gerai makanan tidak halal (di sebelah kiri) kompleks makanan ini sahaja,” ujar Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri ketika mengadakan lawatan ke kompleks berkenaan pagi ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Gerald Mak Mun Keong dan Wong Yuee Harng.

Projek tersebut dijangka akan mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan dan bakal dimulakan September ini.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI