Kerja pembaikan runtuhan siling Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi mula minggu depan – Datuk Bandar MBSP

Admin

BAGAN DALAM – Kerja-kerja pembaikan runtuhan siling utama Bangunan Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, di sini akan dimulakan pada minggu depan dan dijangka siap dalam masa sebulan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, proses itu dimulakan selepas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) Pulau Pinang membatalkan arahan pemberhentian kerja yang dikeluarkan kepada kontraktor terlibat.

Sr. Rozali Mohamud bersama-sama pihak berkaitan meneliti dokumen berkaitan insiden runtuhan siling Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi.

“MBSP telah menerima laporan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan kontraktor pada 25 Oktober 2019 dan peringkat kedua pada 5 November lalu.

“Justeru, satu mesyuarat bersama telah diadakan bagi membincangkan laporan dikemukakan yang mana kita dapati masih ada beberapa penambahbaikan daripada aspek teknikal perlu dilakukan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Turut serta, Ahli Majlis bagi MBSP, Khong Chee Song; Pengarah DOSH Pulau Pinang Jaafar Leman; Ketua Bahagian Pengurusan Bangunan PDC, Saari Din serta wakil pihak kontraktor, Mohd. Sofijan Arshad.

Dalam pada itu, Rozali berkata bahawa pihaknya tidak boleh mengulas lanjut mengenai laporan tersebut kerana ia masih tertakluk kepada siasatan DOSH dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Minggu depan kita akan buat pembaikan dan dalam masa sebulan dapat disiapkan jika tidak ada kecacatan atau masalah-masalah teknikal yang tidak dijangka,” ujarnya lagi.

Runtuhan siling bangunan yang berlaku pada 15 Mac lalu masih dalam proses siasatan lanjut.

Difahamkan, PDC sebagai pemilik projek telah melantik sebuah syarikat kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja penarafan bangunan itu dengan kos sebanyak RM4.4 juta, bermula pada 18 September 2017 dan siap 14 Mac 2019.

PDC kemudiannya menyerahkan pengurusan bangunan tersebut kepada MBSP pada 16 Julai 2019, dengan tempoh kecacatan sehingga 13 Mac 2020. Insiden runtuhan siling kira-kira jam 10.30 pagi, 15 Oktober lalu berlaku dalam tempoh tersebut (kecacatan).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD