Kerja pembinaan lintasan Taman Dahlia patuhi spesifikasi ditetapkan – ADUN

Admin

BAGAN JERMAL – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee menegaskan bahawa kerja-kerja pembinaan lintasan (jambatan) di Taman Dahlia, di sini telah mendapat kelulusan serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak berwajib.

Katanya, semua struktur reka bentuk bagi lintasan tersebut dilaksanakan oleh jurutera perunding bertauliah dan tidak menyalahi mana-mana peraturan kejuruteraan.

Jurutera JPS Seberang Perai Utara, Mohd. Adhar menerangkan perincian berkaitan pelan struktur lintasan Taman Dahlia pada sidang media sebentar tadi.

 

 

 

 

 

 

 

“Di dalam bidang pembinaan jambatan, struktur jambatan sememangnya direka bentuk dengan menggabungkan bahan simen dan besi.

“Semua bahan yang digunakan dalam pembinaan lintasan ini telah mendapat kelulusan pegawai penguatkuasa kerana kita tidak akan berkompromi untuk penggunaan bahan-bahan berkualiti rendah.

“Kerja-kerja pembinaan juga dilakukan mengikut spesifikasi binaan sebagaimana termaktub di dalam kontrak,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Beliau memberitahu perkara itu sebagai respons kepada kenyataan tidak berasas oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan bahan digunakan dalam kerja-kerja pembinaan lintasan tersebut yang didakwa hanya menggunakan besi sahaja.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Khong Chee Seong dan K. Kumaran; Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Seberang Perai Utara, Ir. Mohd. Adhar Yahaya serta Penyelaras Khas Parlimen Bagan, Tan Kang Chong.

Mengulas lanjut, Lip Chee menjelaskan bahawa lintasan di Taman Dahlia adalah sebahagian daripada komponen bagi Projek Tebatan Banjir (RTB) Mak Mandin dan kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya pada 8 Disember lalu.

“Dalam masa projek ini dijalankan, kita minta pihak JPS Pulau Pinang untuk melebarkan lintasan di Taman Dahlia untuk mengatasi kesesakan lalu lintas memandangkan jalan di sini agak sibuk.

“Kos pembinaan bagi menambah kelebaran lintasan adalah berjumlah RM230,000 tanpa melibatkan penambahan kos,” jelasnya yang juga Exco Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, Mohd. Adhar berkata, lintasan Taman Dahlia hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan atau kenderaan yang tidak melebihi berat 10 tan metrik sahaja bagi mengelakkan berlaku kerosakan di laluan tersebut.

“Lintasan ini ditutup selama empat jam pada 9 Disember lalu disebabkan terdapat kenderaan berat melebihi muatan telah melalui jalan ini menyebabkan berlaku kerosakan pada jalan di hadapan bengkel motor dan bukannya di atas jambatan,” ujarnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF