Kerja tanah projek kereta kabel Bukit Bendera jangka mula Mei, terima kasih Pusat – Ketua Menteri

Admin
4e5498a5 8155 4521 9177 80b6242b9f19 KETUA Menteri (dua dari kanan) dengan diiringi Lim Guan Eng (kanan sekali) dan Syerleena Abdul Rashid (tiga dari kanan) turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menyertai Karnival Raya Aidilfitri Parlimen Bukit Bendera di Sekolah Kebangsaan Jalan Residensi di sini pada 14 April 2024.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dijangka memulakan kerja-kerja tanah bagi projek kereta kabel Bukit Bendera pada bulan Mei atau Jun tahun ini.

b349284b cfa1 4ede a867 d57051f8504b
KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada semua pihak antaranya Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat di sebalik proses kelulusan projek pemajuan kereta kabel Bukit Bendera dan beberapa projek infrastruktur awam negeri lain.

“Dalam dua tahun belakangan ini, ‘pasukan saya’ dalam Kerajaan Negeri akan senantiasa menghargai Kerajaan Persekutuan atas kerjasama dengan memberi kelulusan projek-projek di negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam Karnival Raya Aidilfitri Parlimen Bukit Bendera di sini pada 14 April 2024.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pentadbirannya akan terus memperbaiki infrastruktur awam negeri bagi meningkatkan lagi tahap kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum di Pulau Pinang, sebagaimana disasarkan dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

15f7d5be 06ed 48e0 ae45 37853b28dca5
ZAIRIL Khir Johari

Berucap sebelum itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa Pelan Kebenaran Merancang bagi projek kereta kabel Bukit Bendera telahpun diperoleh pada bulan Januari lepas lagi.

“Pelan Kebenaran Merancang telahpun diluluskan pada bulan Januari lepas, bersamaan dengan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) dan SIA (Penilaian Impak Sosial) juga telah diluluskan.

“Kita (Kerajaan Negeri dan PHC) jangka projek ini akan dimulakan pada bulan Mei atau Jun,” ujarnya yang juga ADUN Tanjung Bunga.

Selain itu, Zairil turut menjelaskan bahawa jajaran projek kereta kabel Bukit Bendera sepanjang 2.7 kilometer (km) dari stesen bawah dekat Taman Botani Pulau Pinang dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga ke puncak kawasan peranginan tanah tinggi terkenal negara tersebut dijangka akan mengambil masa pembinaan selama dua tahun hingga tiga tahun.

Tambah beliau, projek kereta kabel Bukit Bendera tersebut akan menelan kos pemajuan antara RM250 juta hingga RM300 juta, menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

“Selama ini, hanya ada keretapi furnikular sahaja untuk pelancong ke puncak Bukit Bendera, selepas ini akan ada mod pengangkutan awam alternatif iaitu kereta kabel Bukit Bendera.

“Kita memilih untuk membina kereta kabel (ke puncak Bukit Bendera) kerana ia (kereta kabel) adalah mod pengangkutan awam yang paling mesra alam,” ulasnya.

Selain Kon Yeow dan Zairil, turut berucap ialah Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid (selaku penganjur karnival) dan ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Pengurus Besar PHC, Dato’ Cheok Lay Leng antara pemimpin negeri yang hadir dalam majlis keramaian di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN