Khidmat kaunseling maya atasi kemurungan

  • Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BATU MAUNG – Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung menjadi lokasi kedua pelaksanaan program ‘Mental Stress Counselling Centre’ ekoran masalah kesihatan mental serta kemurungan yang dikenal pasti menjadi musuh masyarakat ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa impak pandemik kini telah menyebabkan ramai yang mengalami kemurungan disebabkan beberapa faktor antaranya kesan daripada kehilangan sumber pendapatan dan kematian saudara mara termasuk ibu bapa disebabkan oleh COVID-19.

“Hal yang sama turut menimbulkan masalah rumah tangga dan masalah kewangan yang meruncing serta mampu membawa kepada tindakan bunuh diri.

“Atas sebab itu, Pusat Khidmat DUN Batu Maung dengan kerjasama VHGLOBAL Sdn. Bhd. (VHGLOBAL) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan kaunseling secara maya dalam menangani masalah berkaitan,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan di sini pada 7 Ogos lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi VHGLOBAL Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Asyraf.

Difahamkan, sebelum ini, program serupa turut dilaksanakan di DUN Batu Uban.

Dalam menjayakan program tersebut, Abdul Halim turut menyalurkan dana sebanyak RM10,000 atau bersamaan 130 sesi kaunseling percuma ditawarkan kepada individu-individu yang memerlukan khidmat tersebut.

“Selain itu, kita turut mengalu-alukan pihak swasta untuk turut tampil menyalurkan sumbangan bagi membolehkan sesi kaunseling percuma dapat diteruskan kepada mereka yang perlu.

“Kepada yang tiada kemudahan gajet, boleh hadir ke Pusat Khidmat DUN Batu Maung bagi membolehkan sesi kaunseling secara maya tersebut dapat dilakukan di sini,” ujarnya.

Bagi keterangan lanjut, hubungi Pusat Khidmat DUN Batu Maung di talian 04 – 626 1442 atau layari http://www.vhglobal.org.